AM

PIDBR 2024 PLATFORM UNTUK BUDAYA, WARISAN DAN KERJASAMA ANTARABANGSA - EXCO

24/11/2024 09:59 PM

GEORGE TOWN, 24 Nov (Bernama) -- Regata Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang (PIDBR) 2024 menjadi platform yang menggabungkan budaya, warisan dan kerjasama antarabangsa dalam meraikan semangat bersama terhadap perlumbaan perahu naga.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata acara tahun ini menandakan pencapaian penting dalam sejarah regata, membawakan aksi dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada penonton.

Beliau berkata buat kali pertama dalam tempoh hampir 45 tahun, PIDBR kembali ke lokasi berdekatan perairan ikonik di Gurney Drive berbanding di Empangan Teluk Bahang sebelum ini sekali gus membolehkan lebih ramai menikmati perlumbaan perahu naga itu.

"Sepanjang acara dua hari bermula semalam, kita bukan hanya menyaksikan perlumbaan mendebarkan, tetapi juga meraikan semangat persahabatan dan perpaduan yang dibawa oleh regata ini.

"Tahun ini, kita memulakan lembaran baharu dengan menganjurkan regata di Straits Quay Marina, Tanjong Tokong yang menawarkan pemandangan indah," katanya pada majlis penutup PIDBR 2024 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di sini hari ini.

Dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang dan Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) sebagai rakan utama dan penaja, pertandingan itu turut meraikan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia–China.

Lebih 1,600 pelumba daripada 61 pasukan tempatan dan antarabangsa menyertai perlumbaan itu termasuk dari United Kingdom, Belanda, Jepun, Singapura dan Indonesia.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan