EKONOMI

PENAMATAN SSA DNB-TM: AKSES 5G PENGGUNA TIDAK TERJEJAS - GOBIND

26/11/2024 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Penamatan perjanjian langganan saham (SSA) antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) tidak menjejaskan penawaran akses 5G sedia ada oleh syarikat itu, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo. 

Beliau berkata perjanjian akses 5G antara DNB dan TM yang dimeterai pada 30 Okt 2022 adalah masih terpakai.

“Justeru, pelanggan TM masih boleh terus menikmati perkhidmatan 5G yang sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai penyelesaian kementerian berhubung isu 5G ekoran keputusan DNB menamatkan SSA dengan TM.

Dalam hal pemilikan ekuiti dalam DNB oleh TM, katanya syarikat tersebut telah memohon lanjutan masa untuk memuktamadkan proses transaksi ekuiti daripada 21 Jun 2024 kepada 21 Ogos 2024 atas keperluan untuk mendapatkan persetujuan pemegang saham mereka.

“Bagaimanapun, pihak TM telah gagal memenuhi syarat duluan dalam mendapatkan persetujuan pemegang saham mereka pada atau sebelum 21 Ogos 2024 dan sekali lagi telah memohon  pelanjutan masa kepada 31 Dis 2024. 

“Permohonan daripada TM ini telah tidak diluluskan oleh Lembaga Pengarah DNB,” katanya.

Gobind berkata penglibatan syarikat telekomunikasi melalui pegangan ekuiti dalam DNB adalah antara langkah utama ke arah peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada model  dwi rangkaian 5G di Malaysia. 

“Di bawah terma SSA, empat syarikat telekomunikasi secara kolektif memegang kira-kira 65.1 peratus ekuiti dalam DNB, dengan setiap syarikat telekomunikasi memegang kira-kira 16.3 peratus pegangan ekuiti. 

“Kerajaan Malaysia, menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan, mengekalkan kira-kira 34.9 peratus pegangan ekuiti serta Saham Khas dalam DNB bagi tempoh yang ditetapkan,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan