PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM33.8 bilion bagi melaksanakan 325 inisiatif serta program keusahawanan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tahun ini, yang dapat memanfaatkan lebih 578,000 PMKS.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program berkenaan sedang dilaksanakan oleh 14 kementerian, lebih 50 agensi dan 13 kerajaan negeri.
"Terdapat pertambahan sebanyak 26 peratus dalam jumlah bilangan program dan peningkatan sebanyak 118 peratus pada jumlah peruntukan yang dilaporkan untuk tahun ini berbanding pelaporan pada tahun lepas iaitu 258 program dan jumlah dana sebanyak RM15.48 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bil 4/2024, hari ini.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy mengenai peningkatan pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) 2024, yang berjaya mencapai pelaporan penuh buat kali pertama.
Beliau berkata mesyuarat telah diberitahu oleh Rizal yang juga Ketua Sekretariat SEK-MPUPK bahawa SME Corp Malaysia menzahirkan sokongan untuk memperkukuh pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan SMEIPA.
“Untuk itu, SME Corp Malaysia telah berjaya melaksanakan sebanyak 52 Sesi Libat Urus (SLU) merentasi kementerian, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada tahun ini,” katanya.
SMEIPA merupakan pelaporan untuk menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan program PMKS merentasi pelbagai kementerian dan agensi.
Pemantauan program melalui SMEIPA adalah dengan menilai pencapaian program pada tahun sebelumnya serta program yang dirancang pada tahun semasa.
Sementara itu, Ahmad Zahid bekrata kerajaan terus komited memperkasa pembangunan PMKS yang dibuktikan menerusi Belanjawan 2025 menyaksikan sebanyak RM40 bilion diperuntukkan melalui kemudaha pinjaman, geran dan jaminan pembiayaan perniagaan serta pembangunan kapasitidi bawah agensi kerajaan kepada usahawan dn PMKS.
"Cabaran lebih besar menanti Sekretariat MPUPK dalam memastikan pemantauan dan penyelarasan yang lebih menyeluruh pada 2025," katanya.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat juga telah dimaklumkan mengenai Sesi Sumbang Saran berkenaan penskalaan PMKS.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku kementerian peneraju dalam pembangunan usahawan dan PMKS akan melaksanakan sesi sumbang saran bagi mengenal pasti faktor utama yang menyokong dan mempercepat transformasi PMKS.
Beliau berkata dapatan dari sesi itu akan dijadikan rangka kerja utama dalam melakar strategi pembangunan PMKS bagi tempoh RMK-13 (2026 – 2030).
"Sasarannya, ke arah mencapai dua sasaran utama iaitu peningkatan bilangan firma bersaiz sederhana daripada 1.8 peratus pada 2023 kepada lima peratus dalam tempoh dua tahun (2026-2027) dan penciptaan sekurang-kurangnya satu unicorn Malaysia dalam tempoh RMK-13," katanya.
Ahmad Zahid berkata dalam mesyuarat sama, komposisi Ahli Mesyuarat SEK-MPUPK juga telah dikemas kini dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri telah dilantik sebagai Ahli Tetap baharu.
-- BERNAMA