AM

SISTEM PINTU PLATFORM AUTOMATIK DI KL SENTRAL, TUN SAMBANTHAN KINI BEROPERASI

26/11/2024 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Rapid Rail Sdn Bhd hari ini mengumumkan bahawa Sistem Pintu Platform Automatik (PAGS) di stesen KL Sentral dan Tun Sambanthan telah beroperasi sepenuhnya sejak 15 Nov lepas.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan memaklumkan pemasangan PAGS langkah penting dalam meningkatkan keselamatan penumpang di platform sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.  

“Ia juga dijangka memberi lebih keselesaan dan keyakinan kepada semua penumpang termasuk orang kurang upaya (OKU).

“PAGS direka untuk beroperasi secara serentak dengan pintu tren dan dilengkapi dengan tiga pintu keluar kecemasan serta skrin kekal di hujung platform bagi memperkukuhkan lagi ciri-ciri keselamatannya,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan inisiatif tersebut sebahagian daripada projek penambahbaikan menyeluruh oleh Prasarana, yang turut merangkumi pemasangan lif,  menaik taraf sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan kemudahan tandas di semua 11 stesen monorel. 

Menurut Prasarana dalam fasa seterusnya, PAGS di empat stesen monorel antara Maharajalela dan Bukit Bintang dijangka beroperasi menjelang akhir bulan ini manakala baki lima lagi stesen dijadualkan siap pada akhir Disember ini.

“Sepanjang tempoh itu, penumpang dinasihatkan agar mengikuti arahan yang dipaparkan di stesen dan hubungi Pegawai Stesen atau Polis Bantuan jika bantuan diperlukan.  

“Rapid Rail mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas kerjasama dan sokongan mereka sepanjang pelaksaanaan inisiatif itu. Kami akan terus berusaha untuk memastikan Laluan Monorel memberikan perkhidmatan yang selamat, lebih selesa dan dipercayai kepada semua,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan