AM

ANCAMAN SIBER SEMAKIN KOMPLEKS, PERLU TINDAKAN BERSAMA - GOBIND

26/11/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Tiada entiti tunggal mampu menangani pelbagai cabaran keselamatan siber yang dihadapi pada masa ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata ancaman yang sering kali kompleks dan berkembang dengan pantas memerlukan tindakan kolektif antara pihak industri dan kerajaan.

“Agensi kerajaan seperti CyberSecurity Malaysia menyediakan perkhidmatan kepakaran teknikal yang memastikan platform digital, infrastruktur dan aplikasi selari dengan piawaian global di samping memenuhi keperluan tempatan.

"Rakan kongsi seperti MyOri Services berada di barisan hadapan inovasi teknologi, meningkatkan kecekapan, kreativiti dan penyelesaian khusus yang boleh disesuaikan dengan cabaran yang muncul,” katanya dalam ucapan sebelum menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara CyberSecurity Malaysia dan MyOri Services, di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan rakan sejawatnya dari MyORI Services Ling Ken Ji.

Gobind berkata menerusi kerjasama itu, platform MyORI SmartSecure kini memiliki pensijilan keselamatan siber, yang membolehkannya digunakan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Beliau berkata ia bukan sahaja memastikan platform digital selamat tetapi juga memupuk budaya amanah dan akauntabiliti dalam pasaran.

“Bagi pengguna, kerjasama ini memberikan lebih keyakinan terhadap keaslian dan keselamatan produk, manakala bagi perniagaan, ia menawarkan alat untuk mematuhi kehendak peraturan dan meningkatkan daya saing mereka.

“Untuk negara, ia melambangkan satu lonjakan besar dalam mewujudkan ekosistem digital yang selamat, telus dan berdaya tahan,” katanya.

Perjanjian kerjasama itu juga membolehkan pengesahan dan pensijilan bebas untuk platform SmartSecure di bawah skim Pensijilan dan Penilaian Kriteria Seragam (MyCC), serta penyertaan bersama dalam program rasmi, seminar dan acara libat urus industri.

Untuk maklumat lanjut, layari www.myori.my atau muat turun aplikasi MyORI SmartSecure menerusi Google Play Store atau Apple App Store.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan