AM

PERMOHONAN MAAF KEPADA RAKYAT JEPUN DAN CHINA SUSULAN KEMALANGAN, BUKAN ISU PAPAN TANDA

26/11/2024 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan bahawa permohonan maaf yang dibuat kepada rakyat Jepun dan China baru-baru ini ialah berhubung insiden kemalangan serius yang berlaku di negara ini melibatkan pelancong kedua-dua negara itu. 

Menerusi hantaran di Facebook, Tiong berkata permohonan maaf itu tiada kaitan sama sekali dengan isu papan tanda yang diperkatakan ketika ini.

“Saya memohon maaf (kepada mereka) atas kelemahan dipihak kami dalam memastikan keselamatan pelancong dan bukan sekadar memohon maaf tanpa alasan.

“Menjadi tanggungjawab kita sebagai tuan rumah untuk memastikan pelancong dapat menikmati percutian mereka dengan selamat dan gembira.

“Apabila pelancong datang ke Malaysia dengan harapan untuk bercuti tetapi berakhir dengan tragedi tidak diingini, ia sesuatu yang amat menyedihkan bagi mangsa serta ahli keluarga mereka,” katanya.

Tiong berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu mengambil langkah serius untuk memastikan perkara seperti itu tidak berulang. 

Mengenai isu papan tanda, beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat berkomunikasi dengan peniaga secara baik agar perkara tersebut tidak dipanjangkan hingga mencetus ketegangan.

Selari dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa rakyat Malaysia ialah satu keluarga, Tiong berkata semua pihak seharusnya menjaga keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat, tanpa menimbulkan ketegangan. 

Beliau turut mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin yang cuba mencetuskan isu perkauman serta menjejaskan keharmonian rakyat.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin, mereka sepatutnya bertindak dengan lebih bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dan bukannya mencipta masalah. 

Beliau turut mempersoalkan peranan dimainkan Mas Ermieyati ketika memegang jawatan Timbalan Menteri (MOTAC) khususnya dalam meningkatkan kedatangan pelancong.

Tiong berkata kerajaan kini bekerja keras dan berusaha untuk membantu peniaga kecil khususnya di tepi jalan supaya mereka dapat meningkatkan perniagaan dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarga.

Selain itu, beliau juga amat terbuka untuk menerima sebarang teguran dan kritikan yang membina namun berharap semua pihak dapat bersatu hati dalam mencari jalan penyelesaian yang konstruktif.

“Jika saya melakukan kesilapan, saya akan dengan rendah hati mengakuinya dan memperbaikinya namun saya berharap kita tidak terus mencetuskan huru-hara dan ketegangan terutamanya dengan isu yang tidak membawa manfaat kepada negara.

“Saya memohon jasa baik semua untuk sama-sama melihat kesusahan rakyat dan fokus kepada kemajuan negara kerana kita harus menonjolkan imej serta contoh positif negara kita di mata dunia,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan