KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menggesa supaya dipercepatkan penyiapan penyediaan perkhidmatan mudah alih di bawah Fasa 1 inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) memandangkan ia sepatutnya siap pada Oktober 2024.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata terdapat kira-kira 1,600 menara di bawah Fasa 1 JENDELA, tetapi tidak semuanya siap atau ‘on-air’.
“(Menara ini) sepatutnya siap bulan lepas, tetapi tidak siap, dan itulah sebabnya kita tidak gembira. Fasa 2 JENDELA akan mengambil sedikit masa, dan kami menjangkakan jumlah menara di antara 2,500 dan 3,000 tapak.
"Ia mungkin dua kali ganda bilangan tapak untuk Fasa 1 JENDELA, dan ia akan menjadi lebih mencabar kerana tapak-tapak tersebut akan berada di kawasan yang lebih terpencil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri TowerXchange Meetup Asia 2024 di sini hari ini.
Sebelum ini, Fahmi turut melahirkan kebimbangan berhubung menara yang belum siap di bawah Fasa 1 JENDELA, khususnya di Sabah, yang mana hanya 215 menara daripada 382 telah siap dan diserahkan.
Daripada jumlah itu, hanya 61 peratus atau 130 menara ‘on air’.
Mengenai Fasa 2 JENDELA, Fahmi berkata kementeriannya akan mereka bentuk semula reka bentuk rangkaian dan mengambil kira teknologi-teknologi baharu, seperti yang dibangunkan di Menara Exchange dan beberapa teknologi baharu seperti ‘Direct-to-Device’.
"Ini melibatkan penggunaan ‘Low Earth Orbit Satellite’ dan menggunakan rangkaian untuk menyediakan ‘inter-relationship’, terutamanya di kawasan yang terlalu mahal atau terlalu sukar untuk membina menara," tambahnya.
Fahmi dalam pada itu turut meluahkan kebimbangan mengenai Fasa 2 JENDELA, di mana beliau berkata terdapat keperluan untuk merombak keseluruhan proses pelaksanaan bagi memastikan keberkesanan program berkenaan.
-- BERNAMA