Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae menekankan kepentingan komitmen yang dipamerkan oleh kedua-dua negara semasa lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke negara itu minggu ini, khususnya dalam memajukan usaha untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-Malaysia (FTA) menjelang 2025.
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan dari 24 hingga 26 Nov amat bermakna terutamanya apabila beliau dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dalam satu kenyataan bersama bersetuju untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Korea-Malaysia menjelang 2025.
Kedua-dua pihak komited untuk memastikan kesepakatan itu dimuktamadkan secepat mungkin.
Setelah dimeterai, FTA Korea-Malaysia dijangka mempercepatkan kerjasama ekonomi dua hala. Ia bukan sahaja memperkukuh asas perdagangan dan pelaburan, malah menjadi pemacu kepada kerjasama ekonomi yang stabil dan mampan.
Secara khususnya says ingin menegaskan bahawa FTA ini akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam tiga aspek utama: memperkukuh kerjasama dalam industri baharu yang sedang berkembang, menarik pelaburan asing, dan mendorong pembaharuan institusi serta pemodenan pentadbiran.
FTA ini bukan sekadar mempromosi perdagangan barangan tradisional tetapi merangkumi strategi kerjasama dalam sektor baharu seperti ekonomi hijau, bioekonomi, dan industri digital.
Pendekatan ini sejajar dengan strategi ekonomi Malaysia, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Ia bukan sahaja akan memupuk perkongsian dalam tenaga hijau, bioteknologi, dan ekonomi digital tetapi juga akan menyokong inovasi dalam industri baru muncul, termasuk inisiatif R&D bersama, perkongsian teknologi, dan pembangunan bakat, sekali gus menyumbang kepada merealisasikan wawasan ekonomi MADANI Malaysia.
Kedua, FTA ini dijangka meningkatkan aliran masuk pelaburan asing yang amat penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Korea Selatan mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam meningkatkan pelaburan di negara rakan FTA, dengan peningkatan sepuluh kali ganda antara 2006 hingga 2022.
Pada 2022 sahaja, lebih 70 peratus pelaburan luar Korea Selatan disalurkan kepada negara rakan FTA.
Dengan termeterainya FTA ini, Malaysia bakal menjadi destinasi pelaburan yang lebih menarik bagi syarikat-syarikat Korea.
FTA ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada pembaharuan institusi dan pemodenan.
Pakar ekonomi, William L. Bernstein dalam bukunya "A Splendid Exchange: How Trade Shaped the World", menekankan bahawa kejayaan dalam pasaran global tidak bergantung kepada saiz tetapi kepada kualiti undang-undang, sistem kewangan dan institusi sesebuah negara.
FTA Korea-Malaysia akan menyokong peningkatan institusi dalam bidang utama seperti kerjasama ekonomi, perkhidmatan dan pelaburan, mewujudkan persekitaran yang lebih kompetitif dan inovatif di Malaysia.
Melalui kerjasama ini, ia turut mewujudkan asas institusi untuk kerjasama yang lebih erat dan kemakmuran bersama antara kedua-dua negara.
Dalam konteks ketidaktentuan geopolitik dan nasionalisme ekonomi global, FTA ini diibaratkan seperti kapal kukuh yang mampu mengharungi lautan bergelora.
Tahun 2025 akan menjadi detik penting bagi hubungan Korea-Malaysia.
Ia menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, dengan Malaysia memegang jawatan selaku Pengerusi ASEAN dan Korea Selatan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak APEC.
Pemeteraian FTA ini akan menjadi satu lagi pencapaian bersejarah yang mengukuhkan komitmen kedua-dua negara untuk kemakmuran bersama.
Sejak 2021, perdagangan dua hala antara Korea Selatan dan Malaysia melebihi US$20 bilion setahun selama tiga tahun berturut-turut.
Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan di ASEAN dan destinasi pelaburan keempat terbesar, manakala Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia.
Sebagai ekonomi ketiga terbesar di ASEAN, Malaysia memainkan peranan penting dalam sektor semikonduktor, produk petroleum, elektronik dan minyak sawit.
Sejak 1960-an, Korea Selatan telah menjadi pemain utama dalam perdagangan global, kini diiktiraf sebagai kuasa perdagangan kelapan terbesar dunia dengan peranan penting dalam rantaian nilai global bagi semikonduktor, automobil, petrokimia, elektronik dan jentera.
-- BERNAMA