AM

HAMPIR SEJUTA BENIH IKAN, UDANG DILEPASKAN, ATASI KEHADIRAN IKAN ASING DI PERAIRAN N.SEMBILAN

27/11/2024 12:17 PM

SEREMBAN, 27 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini diberitahu bahawa Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) telah melepaskan 907,600 benih ikan dan udang di seluruh negeri setakat ini, membabitkan kos berjumlah RM163,900.

Exco Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ia bagi menambah stok ikan asli di perairan umum terutama di sungai-sungai, sekali gus mengatasi masalah kehadiran ikan asing yang menjejaskan habitat.

“JPNS meminta mana-mana pihak melaporkan aktiviti melepaskan ikan asing ke perairan sungai atau menggunakan cara menangkap ikan yang terlarang seperti menuba, memanah, dan mengebom. Kita juga melakukan pelbagai program inventori perikanan untuk mengenal pasti spesies ikan di perairan umum.

“Selain itu, nelayan darat diminta memaklumkan kepada JPNS sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menjurus kepada ancaman populasi ikan asli di perairan sungai,” katanya.

Beliau menjawab soalan Yap Yew Weng (PH-Mambau) yang ingin tahu usaha JPNS untuk mengatasi masalah kehadiran ikan asing bagi mengekalkan biodiversiti ekosistem serta memastikan kesinambungan sumber perikanan untuk generasi akan datang.

Jalaluddin berkata JPNS sentiasa melakukan program inventori dan memburu ikan asing dengan kerjasama beberapa pihak bagi menghapuskan populasi ikan berkenaan di perairan Negeri Sembilan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan