PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk menganjurkan Festival of Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) secara tahunan dalam usaha mengangkat Putrajaya sebagai The City of Ideas untuk Malaysia dan dunia, kata Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan untuk menjadikan Putrajaya FOI, yang julung kali diadakan tahun ini, sebagai antara program mercu tanda untuk negara.
“Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri kekal teguh memperjuangkan tradisi ilmu dan pencerahan idea dengan matlamat melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
“Di sinilah (Putrajaya FOI) kita dapat menggabungkan semua pihak bukan hanya dari kalangan akademik tapi juga dari kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada media ketika ditemui pada Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) Putrajaya FOI di sini hari ini.
Beliau berkata Putrajaya FOI yang dianjurkan selama tiga hari hingga Jumaat ini, menyediakan pelbagai program termasuk tawaran 10,000 peluang pekerjaan kepada pengunjung yang hadir.
Zambry berkata KPT juga telah mewujudkan bank idea yang dapat memberi peluang kepada pengunjung Putrajaya FOI untuk mengemukakan sebarang idea, pendapat atau pandangan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Rakyat Malaysia atau siapa sahaja yang mungkin mempunyai idea-idea tersendiri, rakyat biasa yang mungkin ada idea-idea yang baik bagaimana nak membantu untuk menyelesaikan sebarang perkara, sebarang masalah.. jadi kita wujudkan bank idea ini supaya mereka dapat meletakkan cadangan-cadangan itu.
“Cadangan-cadangan itu akan kita agihkan kepada pihak-pihak yang berkenaan, khususnya kepada pihak kerajaan, .. kerana kita semua percaya bahawa idea itulah yang sangat penting bagi sesuatu perubahan yang baik untuk kehidupan kita semuanya,” katanya.
Putrajaya FOI menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum dan sidang selari menerusi MyIDEAS.
Sementara itu, ditanya tentang perkembangan terkini berkenaan laporan media berhubung kes seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang dilaporkan meninggal dunia pada 13 Nov lepas, Zambry berkata pihaknya akan mendapatkan laporan penuh daripada universiti berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
Baru-baru ini media melaporkan seorang lelaki mendakwa anaknya meninggal dunia selepas disyaki didera secara fizikal semasa menjalani latihan.
-- BERNAMA