AM

PULAU PINANG SOKONG PENCALONAN CHINGAY, TARIAN SINGA SEBAGAI WARISAN BUDAYA UNESCO

27/11/2024 03:54 PM

GEORGE TOWN, 27 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang melalui Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif telah mengeluarkan surat sokongan untuk pencalonan persembahan Chingay dan Tarian Singa kepada Jabatan Warisan Negara untuk dimasukkan dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata beberapa siri bengkel telah didakan oleh Jabatan Warisan Negara dengan melibatkan penyertaan pihak berkepentingan bagi penyediaan dokumen pencalonan persembahan Chingay (pencalonan bersama Malaysia dan Singapura) serta Tarian Singa (pencalonan bersama Malaysia dan China).

“Kerajaan negeri melalui Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara juga telah mengadakan Bengkel Pencalonan Warisan Tidak Ketara untuk ICH bagi membantu pihak berkepentingan memahami proses dan keperluan dalam penyediaan dokumen pencalonan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Wong Yuee Harng (PH-Pengkalan Kota) mengenai usaha kerajaan negeri dalam memartabatkan warisan tidak ketara untuk disenaraikan sebagai warisan dunia, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Terubong berkata selain Chingay dan Tarian Singa, Pulau Pinang juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkan pakaian tradisional Kebaya Nyonya sebagai Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya ICH.

Beliau berkata pakaian tradisional kebaya telah dicalonkan secara bersama oleh Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand pada 2023 sebagai Kebaya: knowledge, skills, traditions and practices dan ia sedang dalam proses penilaian pihak UNESCO.

Wong berkata kerajaan negeri telah menyokong pelaksanaan Pameran Baju Kebaya selain menganjurkan Pertandingan Tarian Singa Atas Tiang Antarabangsa setiap tahun di Kepala Batas dan Perarakan Chingay tahunan di George Town serta Butterworth.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan