AM

SATU LAGI KES MPOX DIKESAN DI MALAYSIA - KKM

27/11/2024 06:07 PM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kes baharu jangkitan cacar monyet atau Mpox varian clade II pada 25 Nov lepas, membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia menjadikan jumlah kes Mpox di Malaysia meningkat kepada dua kes tahun ini, menjadikan keseluruhan 11 kes sejak 26 Julai 2023.

“Kes baharu ini melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari dan terlibat dalam aktiviti berisiko. 

“Kes mula menunjukkan gejala ruam pada tangan, badan dan kaki sejak 15 Nov dan dia telah mendapatkan rawatan pada 23 Nov,” menurut kenyataan itu. 

Menurut KKM, lelaki berkenaan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani isolasi serta telah menerima rawatan simptomatik. 

"Semua kontak rapat sedang dikenal pasti dan dipantau untuk tanda dan gejala Mpox selama 21 hari daripada tarikh terakhir pendedahan,” menurut kenyataan itu. 

Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus Mpox iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus. 

Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala serta tanda jangkitan Mpox. 

Jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.

Gejala Mpox ialah demam berserta ruam maculopapular rash atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea. 

Tempoh pengeraman iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan hingga individu menunjukkan gejala jangkitan adalah antara lima hingga 21 hari. 

“Individu positif jangkitan Mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan hingga semua lepuh telah kering sepenuhnya. 

“Lazimnya kes Mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus,” menurut kenyataan itu.

KKM terus memantau situasi Mpox di dalam dan luar negara, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan