AM

PENDUDUK KAMPUNG MANAL RISAU EPISOD BANJIR BESAR 2014 BERULANG, TREND AIR MENINGKAT NAIK

27/11/2024 06:49 PM

Oleh Azli Shafii

TANAH MERAH, 27 Nov (Bernama) -- Penduduk dan peniaga di Kampung Manal, di sini berasa bimbang jika banjir yang sedang melanda kampung mereka pada hari ini berulang kembali seperti banjir besar 2014.

Perkara ini berikutan air sungai di kampung terbabit melimpahi memasuki kediaman, premis dan jalan utama laluan Jedok-Jeli, susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Tinjauan Bernama di kampung itu mendapati, ada kawasan yang banjir naik sehingga paras dada menyebabkan rata-rata penduduk mula berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kelewek dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (SMK TM 1) sejak 9 pagi tadi.

Seorang peniaga kedai runcit Rosdi Ahmad, 50, berkata air Sungai Manal yang terletak 200 meter daripada kedainya telah dinaiki air dan melimpah ke jalan utama sehingga memasuki premis perniagaanya.

“Saya datang pada pukul 8 pagi ketika itu air masih belum melimpah ke atas jalan, namun dalam 9.30 pagi disebabkan hujan lebat, air melimpahi jalan menyebabkan kenderaan ringan tidak boleh melalui jalan ini.

-- LAGI

 

PENDUDUK-BANJIR (BIMBANG) 2 TANAH MERAH

 

“Air naik dengan cepat, saya tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaan saya seperti peti ais dan beberapa barangan elektrik,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Rosdi berkata melihat kepada situasi itu, dia risau akan berlaku banjir besar seperti 2014 sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama.

“Sekarang ini saya mengambil langkah berjaga-berjaga, apa yang boleh diselamatkan terlebih dahulu kerana air yang naik ini bukan sahaja air hujan malah limpahan air sungai.

“Melihat kepada warna air ini saya dan penduduk di  kawasan ini trauma trend air semakin meningkat sekiranya berlaku banjir besar tahun ini,” katanya.

Penduduk Mohd Faizal Hisham, 38, berkata kenaikan paras air kali ini cepat, dengan arus yang laju menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaannya.

-- LAGI

 

PENDUDUK-BANJIR (BIMBANG) 3 (AKHIR) TANAH MERAH

 

“Jika hujan lebat dalam tempoh tiga hari ini mungkin situasi banjir di sini akan terus memburuk dan akan berlaku banjir di luar jangkaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama setakat 4.35 petang ini mendapati beberapa buah kereta dan rumah penduduk di kampung itu ditenggelami air, susulan hujan lebat berterusan.

Selain itu, penduduk di kawasan itu mula berpindah ke PPS berhampiran secara berperingkat, kerana air mula memasuki rumah mereka.

Hari ini, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut, Pahang hingga Jumaat.

-- BERNAMA

 

TAG : MTL, penduduk, banjir, bimbang


ABS MAMA HIS

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan