AM

MOTAC PERKUKUH SISTEM, PROSES PROGRAM MM2H - TIONG

27/11/2024 08:50 PM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang memperkukuh sistem dan proses program Malaysia My Second Home (MM2H) untuk memastikan ketelusan serta keberkesanan program berkenaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata MOTAC akan terus memantau operasi pengendali MM2H agar setiap perkhidmatan yang diberikan adalah telus, cekap dan selari dengan syarat ditetapkan. 

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pengendali bahawa jika terdapat sebarang pelanggaran, termasuk mengenakan caj tambahan yang tidak sah, tindakan tegas termasuk pembatalan lesen akan diambil,” katanya dalam kenyataan selepas sesi libat urus bersama pengendali program berkenaan hari ini.

Beliau berkata langkah tertentu bagi memudahkan proses pemantauan status permohonan MM2H juga sedang dibangunkan. 

“Pusat sehenti MM2H disediakan untuk sebarang pertanyaan berkenaan permohonan MM2H.

“Kami akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menyeragamkan syarat-syarat pembelian hartanah, sekali gus memastikan keputusan Kabinet dipatuhi dan mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pemohon,” katanya.

Dalam sesi libat urus itu, Tiong berkata beberapa cadangan lain juga sedang dikaji termasuk pelanjutan tempoh untuk pembelian hartanah dan penggantian deposit tetap dengan jaminan insurans bagi memberikan kelonggaran kepada peserta tanpa menjejaskan keperluan dasar.

“Saya turut mengambil maklum cadangan pengendali MM2H mengenai beberapa penambahbaikan lain seperti memperluaskan pilihan bahasa bagi ujian lesen memandu, memperbaiki proses terjemahan dokumen rasmi serta meningkatkan sokongan untuk pengambilan pembantu rumah bagi peserta. 

“Cadangan yang disuarakan ini akan dikaji secara mendalam, mengambil kira semua aspek untuk menambah baik program MM2H ini,” katanya.

Beliau berkata MOTAC komited memberikan sokongan kepada semua pihak yang terlibat dalam program MM2H.

“Saya berharap promosi program ini dijalankan dengan baik dan secara profesional demi menarik lebih ramai peserta berkualiti, seterusnya memberi impak positif kepada ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan