AM

BANJIR: PERNIAGAAN DITERUSKAN DEMI KEBAJIKAN PEKERJA

28/11/2024 03:00 PM

KUALA BERANG, 28 Nov (Bernama) -- Demi kebajikan pekerjanya, seorang peniaga kedai makan di Kampung Bukit Kolam di sini tetap meneruskan perniagaan walaupun premisnya turut dinaiki air secara mengejut hingga paras lutut.

Masitah Daud, 47, berkata selain itu, dia tidak mahu membazirkan modal yang telah dikeluarkan untuk membeli bahan masakan bagi menu seperti nasi kerabu dan nasi arab.

“Saya mula sediakan barangan dan memasak seawal 2 pagi tadi serta memulakan perniagaan pada 7 pagi, namun air melimpah ke kedai secara mendadak pada 9.30 pagi tadi. 

“Kalau nak hentikan jualan pun rasa rugi pula. Lagipun kasihan kepada pekerja yang telah datang untuk bekerja. Saya teruskan meniaga, boleh juga mereka dapat upah RM40 hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama di kedai makannya hari ini.

Masitah yang telah dua tahun membuka kedai makan tersebut berkata sejak tahun lepas premisnya sering dinaiki air pada musim tengkujuh dan sebelum ini dia telah menutup kedainya.

“Namun, sejak pagi hingga 12 tengah hari tadi kedai dibuka, saya menerima sambutan luar biasa daripada penduduk setempat yang ingin merasai pengalaman menikmati sarapan pagi dalam banjir,” katanya.

Bagaimanapun, Masitah berkata dia tetap menanggung kerugian akibat banjir mengejut itu kerana dua buah peti sejuk beku di kedainya mengalami kerosakan manakala rumahnya yang terletak di belakang kedai turut dinaiki air.

Sementara itu, penduduk kampung Khairul Azwan Kamarudin, 31, berkata rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari sungai mula dinaiki air pada tengah malam Selasa dan surut pada 4 pagi sebelum kembali dinaiki air hingga paras pinggang pada 8.30 pagi tadi.

“Kami akan segera berpindah ke PPS (pusat pemidahan sementara) jika air sudah masuk ke dalam rumah. Kami sekeluarga telah bersiap sedia dengan sebuah bot fiber milik keluarga,” katanya.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, keadaan banjir di Terengganu semakin memburuk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 10, 228 orang tengah hari tadi berbanding 8,215 orang pada sebelah pagi.

Berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu pula,  sebanyak 32 jalan membabitkan jalan persekutuan dan jalan negeri telah ditutup susulan keadaan banjir semakin meruncing.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan