IPOH, 28 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan menghantar tiga pasukan ke Pantai Timur bagi membantu operasi banjir.
Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon berkata pasukan yang akan digerakkan terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Kuala Kangsar dan Tapah.
"Satu pasukan mempunyai 13 anggota serta kenderaan utiliti seperti bot dan lori termasuk peralatan lain seperti alat komunikasi dan barangan keperluan menyelamat.
"Sekiranya kita mendapat arahan dari pusat pengurusan operasi dari ibu pejabat (Putrajaya), kita akan terus maklumkan tiga pasukan itu. Ini adalah kita punya Pasukan Gerak Cepat yang kita akan gerakkan sekiranya ada keperluan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini hari ini.
Jumlah mangsa banjir di dua negeri di Pantai Timur terus mencatatkan peningkatan mendadak hari ini iaitu seramai 29,023 mangsa di Kelantan manakala 8,215 orang di Terengganu yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Sementara itu, Sayani berkata pihaknya meminta pengusaha aktiviti air supaya menghentikan sementara aktiviti di sungai sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Apabila tiba musim sebegini (MTL), aktiviti di air diminta dihentikan dahulu kerana sejak akhir-akhir ini banyak kejadian lemas berlaku sehingga meragut nyawa.
"Apabila berlaku kejadian kehilangan nyawa, masing-masing akan mencari salah siapa. Sepatutnya semua pihak perlu berwaspada supaya tidak ada berlaku kejadian sehingga meragut nyawa," katanya.
Dalam perkembangan sama, Sayani berkata sebanyak 21 lokasi kepala air di lima daerah di negeri ini dikenal pasti, antaranya Kledang Saiong, Lata Ulu Chepor, Sungai Jahang dan kawasan perkelahan Sungai Air Beruk.
Pada 15 Nov lepas, tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaporkan lemas semasa melakukan aktiviti berakit di Sungai Jahang, Gopeng dan selang beberapa hari kemudian (17 Nov), seorang wanita berusia 20 tahun ditemukan lemas semasa mandi-manda bersama keluarganya di Sungai Air Beruk, Gerik.
-- BERNAMA