AM

RM900,000 DIPERUNTUKKAN NAIK TARAF 10 KEMUDAHAN AWAM DI KAMPUNG BHARU

28/11/2024 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Sejumlah RM900,000 diperuntukkan bagi menaik taraf 10 kemudahan awam di Kampung Bharu, di bawah Program Kampung Angkat MADANI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam terdiri daripada beberapa sekolah, surau, masjid serta dewan itu, dijangka selesai Mac tahun hadapan.

"Kalau kontraktor yang dilantik nanti untuk membangunkan kemudahan awam di sekolah-sekolah yang kita berikan ini (adalah mahir) insya-Allah, penambahbaikan akan dapat disiapkan dan jangka masa yang pendek dan berkualiti.

"Harapan saya dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah agar institusi pendidikan dan masjid ini dapat memainkan peranan untuk menyatupadukan masyarakat di Kampung Bharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pengisian Santuni Madani Kampung Angkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) anjuran MAIWP di Masjid Jamek, Kampung Bharu, di sini, hari ini.

Pada program tersebut, cek cura telah diserahkan kepada wakil daripada lima institusi agama iaitu RM20,000 kepada Dewan Komuniti Kampung Paya, Masjid Jamek Kampung Bharu (RM100,000), Madrasah Rajaiyah Jalan Raja Uda (RM100,000) serta Surau Al-Hidayah Kampung Padang (RM50,000) dan Surau Jalan Raja Bot (RM30,000). 

Bagi institusi pendidikan pula cek cura berjumlah RM100,000 diserahkan kepada wakil daripada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kg. Bharu, Sekolah Kebangsaan Kampong Bharu (RM200,000) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih dan Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda, masing-masing menerima RM100,000.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata bantuan itu dapat meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan penduduk yang menggunakan fasiliti di tempat-tempat tersebut.

"Ini merupakan sumber zakat yang kita kutip daripada penduduk di Wilayah Persekutuan dan ini antara program yang kita buat untuk menyalurkan bantuan kepada (penduduk Kampung Bharu), hari ini, lima institusi agama dan masjid supaya mereka dapat naik taraf fasiliti di premis mereka," katanya.

Selain program yang diadakan hari ini, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan oleh MAIWP sejak pelancaran program Kampung Angkat pada 29 Julai lepas termasuk ziarah konvoi berbasikal, agihan bakul makanan, bantuan musibah, gunting rambut percuma serta pemeriksaan kesihatan.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara supaya memilih kampung asal atau kampung lain untuk dijadikan kampung angkat bagi memastikan pembangunan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan