AM

KEMENTERIAN PERPADUAN PERUNTUK RM2.5 JUTA UNTUK BAIK PULIH KEMUDAHAN ASAS KG BATU PAPAN

28/11/2024 06:06 PM

GUA MUSANG, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukkan dana sebanyak RM2.5 juta bagi melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Batu Papan di sini.

KPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu meliputi 18 kerja-kerja fizikal dalam memastikan kemudahan asas disediakan dan dipertingkat termasuk jalan raya, bekalan air bersih, sistem telekomunikasi dan bekalan elektrik yang memberi faedah kepada masyarakat di kawasan itu.

“Pemilihan kampung ini adalah bertepatan dengan kriteria yang digariskan oleh kerajaan iaitu kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus atau kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus.

“Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Batu Papan dilaksanakan bagi mempertingkat capaian kemudahan asas dan kemudahan masyarakat melalui pendekatan keseluruhan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPN, kerja-kerja fizikal telah dikenal pasti dan dilaksanakan melibatkan pemasangan lampu solar, pembaikan dewan dan taman bimbingan kanak-kanak, pembaikan ruang riadah dan sukan serta naik taraf infrastruktur rekreasi dan sosial.

Program Kampung Angkat MADANI adalah inisiatif yang diperkenal dalam Belanjawan 2024 bagi mempertingkat capaian kemudahan asas dan kemudahan masyarakat melalui pendekatan keseluruhan kerajaan. 

Sebanyak 42 kampung di seluruh negara telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI, membabitkan peruntukan RM100 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan