KOTA BHARU, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menyeru rakyat supaya tidak menviralkan sesuatu perkara yang tidak benar dan membuat spekulasi berkaitan bencana banjir.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Nazran Muhammad berkata orang ramai sebaliknya diminta mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib berhubung sesuatu perkara yang tidak pasti, selain bertenang dan tidak panik.
“Jika ada sesuatu perkara yang tidak pasti sila tanya pihak berkuasa atau meminta bantuan daripada mereka,” katanya kepada Bernama selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Melor, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri meminta bantuan sukarelawan dari negeri lain, Nazran setakat ini pihaknya masih menggunakan sukarelawan Kelantan.
“Buat masa ini, kita guna sukarelawan negeri ini kerana banjir di Kelantan masih terkawal,” katanya.
Beliau berkata pihaknya mendapat kerjasama baik daripada pelbagai agensi berkaitan seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
-- BERNAMA