KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kesibukan mencari nafkah tidak wajar dijadikan alasan untuk mana-mana ibu bapa mengabaikan soal penjagaan anak-anak mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata perbuatan meninggalkan anak sendirian tanpa penjagaan orang dewasa bukan sahaja merupakan kesalahan dari segi undang-undang, malah ia turut membahayakan keselamatan anak-anak itu.
“...Kalau kita nak mencegah (perbuatan ini) dari segi undang-undang memang banyak, namun kadangkala perundangan itu bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Terdapat ibu bapa yang menghadapi masalah kekeluargaan atau kewangan, jadi perkara ini perlu dibincang bersama dengan keluarga atau kawan-kawan.
“Kita faham dari segi ekonomi, untuk ibu bapa menghantar anak ke pusat penjagaan menjadi satu kekangan, namun begitu ia tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan anak berseorangan mahupun berdua, demi keselamatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tautan KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Bersama Media 2024 di sini.
Nancy mengulas kes membabitkan seorang wanita yang dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen Ampang semalam, selepas mengaku mengabaikan dua anak lelakinya dengan meninggalkan mereka tanpa pengawasan di rumah mereka, bulan lepas.
Sementara itu menyentuh tentang majlis berkenaan, Nancy berkata ia diadakan sebagai penghargaan buat warga media yang sering membuat laporan berita mengenai inisiatif yang dijalankan oleh KPWKM, sekali gus membantu menyebar luas program dan bantuan yang disediakan oleh kementerian berkenaan.
“Sebenarnya kami di KPWKM amat terhutang budi kepada pihak media kerana telah banyak membantu, apatah lagi dengan berita yang amat perlu diketahui oleh masyarakat umum mengenai apa yang dijalankan oleh kementerian.
“Tanpa sokongan tanpa henti pihak media, banyak inisiatif kami tidak akan dapat sampai kepada semua pelusuk masyarakat negara,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhuan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus dan Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali.
-- BERNAMA