KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- BMW Group Malaysia melancarkan Fasa 2 Pusat Pengedaran dan Alat Ganti Serantau, yang secara ketara memperluaskan kemudahan canggih itu yang terletak di Zon Perindustrian Bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata BMW Group telah memperluaskan kemudahan itu kepada 65,000 meter persegi daripada 45,000 meter persegi, mengukuhkan komitmennya terhadap rantau ini dan meningkatkan kedudukannya sebagai salah satu kemudahan terbesar seumpamanya di Asia Pasifik.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata perluasan itu adalah bukti kepada kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk strategik ke rantau ini, yang mana inovasi dan peluang bersatu.
“Kemudahan ini lebih daripada hab operasi; ia melambangkan kepercayaan BMW Group dalam ekosistem kita dan menyerlahkan peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan Asia Pasifiknya. Ia berfungsi sebagai hab sokongan untuk operasi selepas jualan dan sebagai pangkalan strategik untuk rangkaian bekalan serantaunya.
“Dengan ketersambungan yang sangat baik, kumpulan bakat berkemahiran dan dasar yang berfikiran ke hadapan, MIDA kekal komited untuk memudahkan kejayaan BMW dan memberi inspirasi kepada syarikat lain untuk melabur dalam potensi tanpa had di Malaysia,” katanya.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Benjamin Nagel berkata kemudahan itu telah lama menjadi penanda aras untuk kecemerlangan operasi, berkembang menjadi hab logistik tercanggih yang diiktiraf di peringkat global.
“Kemudahan yang diperluaskan ini merangkumi naik taraf yang ketara, seperti Kawasan Storan Bateri Voltan Tinggi yang dibina khas dan sistem rak Lorong Sangat Sempit yang moden.
“Konfigurasi kemudahan dua tingkat itu membolehkan pengembangan berterusan pada masa hadapan, manakala penyepaduan bumbung panel solar sejajar dengan inisiatif kemampanan BMW Group yang lebih luas,” katanya.
Sementara itu, MIDA menyatakan kemudahan yang diperluaskan itu mengukuhkan keupayaan logistik BMW Group dan meletakkannya dalam kedudukan untuk menyokong landskap automotif yang sedang berkembang di rantau ini.
Pelaburan berterusan BMW Group di Malaysia memastikan ia kekal di barisan hadapan dalam kecemerlangan operasi, memperkukuh peranan penting negara dalam kejayaan jangka panjang untuk kumpulan, tambah MIDA.
-- BERNAMA