KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Aset rizab rasmi berjumlah US$117.59 bilion, manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$5.7 juta pada akhir Oktober 2024, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing berjumlah US$13.30 bilion.
"Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$27.89 bilion pada akhir Oktober 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," katanya dalam satu kenyataan pemakluman terperinci rizab antarabangsa pada akhir Oktober 2024, hari ini.
Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, BNM berkata data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.51 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$399.8 juta.
"Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
"Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," kata bank pusat itu.
Mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.
"Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Oktober 2024 tetap boleh guna," katanya.
-- BERNAMA