KOTA BHARU, 2 Dis (Bernama) -- Sebanyak 37 guru terpaksa menaiki lori bomba untuk mengambil kertas soalan peperiksaan bagi Ujian Lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, di bilik kebal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu Nazah Nafi berkata kesemua mereka menaiki lori lima tan jenis Hicom, berikutan beberapa laluan ke sekolah terlibat dilimpahi air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
“Seramai tiga anggota terlibat dalam operasi ini telah mengambil semua guru berkenaan yang berkumpul di Kampung Terbak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kertas soalan tersebut telah diambil di bilik kebal di SMK Tumpat sebelum diagihkan ke SMK Geting dan SM Ugama (Arab) Meheliah di Pengkalan Kubor.
-- BERNAMA