EKONOMI

ASIA DIGITAL ENGINEERING DI POSISI BAIK UNTUK PENYENARAIAN, DIPACU KEWANGAN KUKUH & PERTUMBUHAN STRATEGIK

02/12/2024 03:08 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram & Mikhail Raj Abdullah

SEPANG, 2 Dis (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat, Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE) bersedia mencatatkan perolehan yang jauh lebih tinggi tahun depan sekali gus berada pada kedudukan kewangan yang baik, untuk disenaraikan lebih awal di Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Mahesh Kumar menekankan bahawa keyakinan itu dipacu oleh permintaan terhadap perkhidmatan MRO.

“Keyakinan kami didorong oleh permintaan terhadap perkhidmatan MRO yang terus melebihi penawaran,” katanya kepada Bernama dalam temu bual yang diadakan baru-baru ini di kemudahan hangar 14 ruang syarikat itu yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beberapa hari selepas temu bual itu, ADE, yang merekodkan pendapatan memberangsangkan bagi suku pertama dan kedua, mencatatkan peningkatan perolehan 12 peratus tahun ke tahun kepada RM184 juta bagi suku ketiga pula.

ADE, anak syarikat kepada Capital A Bhd yang memiliki AirAsia, mengharapkan prestasi kewangan yang lebih baik bagui tahun ini dan tempoh seterusnya, sebahagian besarnya disumbangkan oleh perniagaan MRO yang berkembang maju di Asia Tenggara, pemerolehan strategik dan infrastruktur yang berterusan.

Pendapatan suku ketiga didorong oleh peningkatan perolehan daripada perkhidmatan penyelenggaraan kejuruteraan disokong oleh kapasiti dan liputan dari segi geografi yang dipertingkat, seterusnya membawa kepada jualan komponen lebih tinggi.

“ADE berada di landasan yang baik untuk mencapai matlamatnya menjadi penyedia perkhidmatan MRO terkemuka di Asia Tenggara,” katanya.

Mahesh berkata ADE juga berada di laluan yang jelas untuk menjadi antara pesaing utama bagi penyenaraian dalam kalangan syarikat di bawah kumpulan Capital A.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan garis masa khusus untuk penyenaraian itu namun, kekal optimistik mengenai pertumbuhan masa depan ADE.

“Saya serahkan kepada para pemegang saham tetapi dari segi perkara yang perlu kami capai, matlamatnya adalah kami berada di landasan yang betul.

“Kami menguntungkan, mencapai sasaran perolehan dan margin kami seperti yang dijangkakan. Prestasi untuk beberapa suku lepas menunjukkan pertumbuhan yang konsisten, dan prospek kami bagi tahun akan datang juga lebih kukuh,” katanya.

ADE membuka kemudahan hangar MRO 14 ruang, yang terbesar di negara ini, di KLIA.

Kemudahan meliputi kawasan seluas 20.25 ekar itu terletak dalam kawasan Zon Sokongan Aeronautik KLIA 1 (ASZ 1) di bawah pembangunan Aeropolis KLIA oleh Malaysia Airports.

Semasa pelancaran pada 26, Sept 2024, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata ADE bakal menjadi unit perniagaan pertama Capital A yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Beliau berkata ADE berpotensi menyaingi nilai syarikat penerbangan tambang rendah kumpulan itu, AirAsia Bhd, dengan “nilai yang dicipta adalah besar.”

Mahesh berkata usaha berterusan syarikat untuk mengembangkan jejaknya melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A) strategik akan mendorong perniagaan itu berkembang di seluruh ASEAN.

 

Pengukuhan Perniagaan, Rancangan Peluasan Berada di Landasan

 

Baru-baru ini, syarikat itu meneroka pasaran baharu terutama Indonesia melalui pelaburan bersama dengan PT Garuda Maintenance Facility Aero Asia Tbk (GMF) Indonesia bagi perkhidmatan MRO sistem roda dan brek pesawat.

“GMF mempunyai kelulusan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan kelulusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dari Amerika Syarikat. ADE membeli 49 peratus kepentingan daripada entiti itu,” katanya.

Beliau menyifatkan pemerolehan itu sebagai “janji niaga M&A yang sangat baik” berpangkalan di Jakarta, yang telah beroperasi selama enam tahun dan dapat memberikan perkhidmatan bagi sistem roda dan brek pesawat B737 dan A320.

Mahesh berkata ADE sedang meneliti pelbagai peluang M&A dalam model perniagaan yang sama, terutama untuk enjin pesawat di rantau ASEAN.

ADE juga sedang mempertimbangkan peluang M&A selanjutnya, termasuk perkongsian dengan syarikat penerbangan lain dan kalangan pembuat peralatan tulen (OEM).

Beliau berkata sebagai tambahan kepada rancangan M&A, pihaknya sedang berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memperoleh pajakan tambahan 20 ekar daripada radius KLIA untuk dijadikan 10 ruang MRO.

“Kami merancang untuk menambah kepada 20 ruang menjelang 2026 dan menyasarkan 30 ruang pada 2028," katanya.

Kemudahan lain milik ADE ialah hangar dengan dua ruang di Senai, Johor Bahru, dan sebuah lagi kemudahan penyelenggaraan satu ruang di KLIA.

Lanjutan daripada rancangan itu, ADE sedang memperluas kemudahannya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan MRO dengan membeli satu lagi gudang yang terletak 20 minit dari hangar yang baru dilancarkan di KLIA.

“Memandangkan kami sedang mengembangkan perniagaan, kami membeli satu lagi gudang berdekatan, seluas 120,000 kaki persegi,” katanya.

Berlandaskan strategi pertumbuhan yang jelas, perkongsian strategik dan kedudukan kewangan yang teguh, ADE berada pada kedudukan yang amat baik untuk potensi IPO, menandakan satu lagi pencapaian penting evolusinya dalam industri penerbangan global.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan