AM

PAHANG POTENSI BANGUNKAN ‘SAFARI PARK’

02/12/2024 07:40 PM

KUANTAN, 2 Dis (Bernama) -- Pahang berpotensi membangunkan sebuah taman safari yang terbesar antara dalam kalangan negara ASEAN bagi menarik kedatangan pelancong domestik dan luar negara, sekali gus memberi lonjakan positif dalam ekonomi dan pelancongan negeri. 

Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan Datuk Wong Tat Chee berkata kawasan hutan seluas 202.3 hektar di Temerloh sesuai dibangunkan sebagai taman safari itu, yang akan memberi satu lagi nilai tambah di daerah itu. 

“Saya ingin mencadangkan kerajaan negeri membuat langkah penerobosan untuk memacu dan melonjakkan pelancongan daerah Temerloh dengan membangunkan sebuah ‘safari park’. Saya percaya langkah ini boleh membawa impak besar kepada kegiatan pelancongan tempatan. 

“Apabila ada safari park, bukan sahaja dapat menarik pelancong tempatan seperti produk pelancongan Genting Highlands tetapi juga dapat menarik pelancong asing ke Temerloh. Apabila ramai pelancong ke Temerloh, akan ada keperluan membina hotel bertaraf empat, lima bintang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Belanjawan Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan