AM

17.5 JUTA PENGGUNA 5G DI MALAYSIA KETIKA INI - GOBIND

03/12/2024 03:27 PM

JOHOR BAHRU, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia mencatatkan 17.5 juta pengguna perkhidmatan rangkaian 5G setakat ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata perkhidmatan rangkaian 5G itu kini mencapai lebih 82 peratus liputan di kawasan berpenduduk seluruh negara.

"Kementerian menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) telah dan akan menyediakan infrastruktur 5G. Jumlah pengguna tinggi menunjukkan bahawa tarikan terhadap teknologi ini ada.

"Kedua, kita mahu memastikan semua infrastruktur ini selamat khususnya dari aspek keselamatan siber dan penggunaan data," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Connected Industries Day: Transforming Manufacturing with 5G and Artificial Intelligence (AI) di sini hari ini.

Berhubung pusat data, Gobind berkata kerajaan tidak meletakkan sebarang had kepada pembinaan pusat berkenaan di negeri ini, namun akan melihat kesesuaian sesuatu pelaburan terlebih dahulu.

"Kita akan teliti setiap permohonan dibuat kerana pada masa depan kita bukan hanya mahu pusat data tetapi pusat data berteknologi AI, selain perlu melihat beberapa aspek termasuk kelulusan tanah, bekalan tenaga dan air yang diperlukan," katanya.

Gobind baru-baru ini dilapor berkata hingga Oktober tahun ini, sebanyak 10 pusat data mula beroperasi manakala tujuh masih dalam proses pembangunan di Johor selain kerajaan negeri sedang meneliti 36 permohonan bagi pembangunan infrastruktur pusat data di negeri itu.

Beliau berkata perancangan kawasan khusus untuk pusat data seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bertujuan memaksimumkan limpahan ekonomi dengan menarik pelaburan teknologi tinggi dan mampu menjana pendapatan tinggi untuk rakyat.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Gobind berkata kementeriannya menyokong hasrat universiti tempatan menubuhkan Fakulti AI bagi memastikan modal insan bidang berkenaan mencukupi pada masa depan. 

"Negara memerlukan banyak bakat dan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi AI. Ketika ini infrastruktur sedang dibina dan negara memerlukan individu mahir untuk mengoperasikannya.

"Bagi tujuan itu, kita kena pastikan bahawa bakat yang ada di Malaysia dikembangkan ke tahap tertinggi. Fakulti AI perlu diperluas ke setiap universiti yang berkeupayaan menawarkannya," katanya sambil menambah setakat ini bidang itu hanya ditawarkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Penubuhan Fakulti AI di UTM diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman Belanjawan 2024 lepas, dan pihak UTM berjaya menubuhkan fakulti berkenaan dalam tempoh empat bulan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dilapor berkata UTM telah melakukan pengambilan pertama Fakulti AI pada 29 Sept lepas membabitkan 126 pelajar sepenuh masa.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan