EKONOMI

KOPROJAYA TUMPU PELABURAN STRATEGIK UNTUK KEKAL MAPAN, MANFAAT AHLI - PENGERUSI

03/12/2024 04:41 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Koperasi Profesional Putrajaya Bhd (Koprojaya) yang menghimpunkan pegawai-pegawai muda dalam perkhidmatan awam Malaysia, menumpukan pelaburan strategik demi masa depan lebih mapan selain memberi manfaat serta peluang perniagaan menarik untuk kalangan ahlinya. 

Sejak penubuhannya pada 2013, Koprojaya mencatat pencapaian mengagumkan dalam pelbagai sektor termasuk operasi perkhidmatan makanan dan minuman, hartanah, peruncitan dan pengurusan acara bersandarkan penekanan terhadap pelaburan strategik dan bermanfaat.

Pengerusinya Saiful Azhar Shaharun berkata koperasi itu berjaya menghimpunkan hampir 3,000 anggota dengan matlamat menjaga kebajikan anggotanya, meningkatkan tahap profesionalisme anggota serta memberi pulangan dividen setanding koperasi berprestasi tinggi.

"Koprojaya memperuntukkan sebanyak RM30 juta sebagai had pelaburan keseluruhan untuk semua sektor utama. Walaupun jumlah ini tinggi, setiap sektor diberi pelaburan sekitar RM2-RM3 juta.

“Pelaburan ini melibatkan dana tunai untuk membeli aset serta pelaburan dalam saham yang lebih stabil seperti Bank Rakyat dan Co-opbank Pertama (Bank Persatuan)," katanya kepada Bernama.

Saiful Azhar berkata sumber dana utama pelaburan itu adalah daripada keuntungan operasi yang diraih sejak penubuhannya serta modal sumbangan ahli. 

"Apa yang menarik, selama 11 tahun beroperasi, Koprojaya tidak pernah mengambil pinjaman komersial atau pinjaman daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Namun, tahun ini Koprojaya memanfaatkan pinjaman mudah SKM untuk membeli bangunan sendiri di Presint 15, Putrajaya," katanya.

 

Strategi Pulangan Pelaburan

Berbeza dengan kebanyakan koperasi di Malaysia yang cenderung menumpukan aspek pinjaman kepada ahli sebagai model perniagaan utama, Saiful Azhar berkata Koprojaya giat meneroka potensi pelaburan dalam pelbagai bidang. 

Koprojaya juga tidak menetapkan kadar pulangan pelaburan tetap untuk semua sektor,  malah setiap pelaburan dinilai berdasarkan jenis serta strategi perniagaan yang dijalankan. 

"Kadar pulangan (pelaburan) berkisar adalah 5.0 peratus hingga 30 peratus, bergantung pada potensi risiko dan peluang dalam sektor tersebut.

“Keputusan (pelaburan) ini juga dibuat melalui penilaian teliti oleh pasukan jawatankuasa merangkumi pakar dalam bidang pelaburan dan pembangunan perniagaan," katanya.

Mengulas pencapaian Koprojaya setakat ini, Saiful Azhar berkata ini termasuk Anugerah The Emerging Achiever 2017 Malaysia, Anugerah Koperasi Berpotensi sempena Hari Koperasi 2018 SKM  Malaysia selain memperoleh pensijilan sebagai Koperasi Patuh Syariah oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA). 

Saiful Azhar bagaimanapun menegaskan kejayaan Koprojaya tidak hanya diukur melalui keuntungan semata-mata, tetapi keberkesanan pelaburan turut dinilai berdasarkan manfaat yang diperoleh oleh ahli koperasi. 

"Kepuasan ahli dan bagaimana mereka dapat memanfaatkan pelaburan itu menjadi faktor penting dalam penilaian keberkesanan. Koprojaya juga memandang serius kerjasama strategik dengan rakan kongsi perniagaan yang dapat memperluaskan jangkauan kami tanpa memerlukan kapasiti yang besar," katanya.

 

Kerjasama Strategik dengan Syed Group

Saiful Azhar berkata kerjasama strategik terbaharu Koprojaya adalah dengan Syed Group, peneraju industri makanan khususnya rangkaian restoran di bawah jenama Syed Bistro dalam usaha mengembangkan portfolio perniagaan.

Kerjasama itu menyaksikan Koprojaya menjadi francisi pertama Syed Bistro dengan membuka Syed Bistro Cyberjaya di Galleria Cyberjaya yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Khamis ini (5 Dis, 2024).

Di bawah model francais, pembukaan restoran itu mendapat sokongan penuh Syed Group yang memberikan kelonggaran dalam struktur bayaran untuk memudahkan perkembangan koperasi. 

"Usaha ini satu permulaan dan tidak hanya memberi tumpuan kepada sektor restoran, tetapi juga akan membuka peluang dalam perniagaan katering, makanan siap dan lain-lain lagi," katanya.

Saiful Azhar turut berkongsi hasrat Koprojaya untuk menjalin lebih banyak lagi kerjasama selain mengukuhkan usaha sedia ada bagi mencapai sasaran menyertai Indeks 100 Koperasi Terbaik SKM menjelang 2030.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan