GEORGE TOWN, 4 Dis (Bernama) -- Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang akan ditutup sementara dari pukul 11 malam 14 Dis ini hingga 10 pagi keesokan harinya untuk memberi laluan kepada penganjuran Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata penutupan sementara itu perlu bagi memastikan kelancaran maraton.
“Jambatan Pertama Pulau Pinang akan terus dibuka sepanjang masa. Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka sewajarnya bagi mengelak sebarang kesulitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa teruja dengan pelancaran Karnival Run Rev, yang merupakan konsep baharu dan penjenamaan semula acara ikonik yang bertujuan untuk meningkatkan PBIM ke peringkat seterusnya, yang bertujuan mempromosi kecergasan, pelancongan sukan dan semangat maraton di Pulau Pinang.
Karnival Run Rev akan berlangsung di Vervea Highstreet, Aspen Vision City dari pukul 6 petang hingga 1 pagi.
“Acara ini akan menghimpunkan bukan sahaja peserta maraton tetapi juga peminat kecergasan, penyokong kesihatan dan pencinta hiburan. Kami mahu semua orang merasai keseronokan menjelang maraton pada 15 Dis,” katanya.
Wong berkata lebih 22,000 pelari dari 64 negara akan menyertai PBIM tahun ini, yang menampilkan tiga kategori iaitu maraton penuh (42 km), separa maraton (21 km) dan larian 10 km.
-- BERNAMA