TANAH MERAH, 4 Dis (Bernama) -- Pasangan suami isteri tidak menjangka percubaan menjual ubi kayu pada musim tengkujuh di Kelantan ketika ini memberi pendapatan lumayan, apabila makanan sampingan itu mendapat pemintaan cukup tinggi ketika ini.
Nik Khairul Izrrin Afiq Shah Nik Ismadi, 30, berkata tahun ini merupakan kali pertama beliau bersama isterinya Haifa Nur Ain Nik Mahyuddin, 27, memberanikan diri berniaga ubi kayu di hadapan kedai membaiki kereta miliki mereka di Kampung Belimbing, di sini.
"Idea untuk menjual ibu kayu ini datang daripada abang saya merupakan peraih ubi di Bachok mempelawa kepada saya untuk berniaga ubi sebagai pendapatan sampingan. Lebih empat tan ubi kayu diperolehi daripada pembekal dan petani di Bachok untuk di jual di sini sejak Sabtu lepas.
“Sambutan cukup memberangsangkan" katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Nik Khairul berkata ubi kayu yang dijualnya pada harga RM10 bagi empat kilogram mendapat sambutan yang hebat, dan beliau berupaya memperoleh pendapatan RM500 hingga RM1,000 menerusi jualan ubi itu.
Beliau berkata selain promosi di media sosial, beliau menjangka jualan ubi kayu itu 'laku keras' kerana lokasi gerainya yang terletak di laluan utama Tanah Merah-Pasir Mas, yang merupakan laluan utama kepada penduduk Pasir Mas, Tanah Merah dan Kota Bharu.
"Ia ibarat rezeki 'durian runtuh' kepada saya dan isteri pada musim tengkujuh tahun ini kerana pada musim ini masyarakat di negeri ini gemar memakan pelbagai jenis ubi termasuk ubi kayu, kerana mudah dimasak, dan enak dimakan bersama kelapa,” katanya.
-- BERNAMA