DUNIA

RUNDINGAN FTA ASEAN-KANADA KEKAL DI LANDASAN UNTUK DIMUKTAMADKAN

04/12/2024 03:27 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 4 Dis (Bernama) -- Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA) kekal di landasan untuk diselesaikan menjelang 2025, walaupun kemajuan setakat ini tidak memenuhi sepenuhnya jangkaan semua pihak yang terlibat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri.

Bercakap pada perbincangan mengenai perjanjian perdagangan itu di sini pada Isnin, Dyah menyeru keyakinan yang berterusan sambil menegaskan bahawa kedua-dua pihak akhirnya akan mencari penyelesaian kepada perselisihan pendapat mengenai isu-isu utama.

“Adalah penting untuk mencari jalan tengah semasa rundingan ini dan melibatkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan dalam menangani kebimbangan ini,” katanya pada majlis yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA).

Dyah turut menekankan kepentingan rundingan ACAFTA, dengan menyatakan bahawa sebaik sahaja dimuktamadkan, ia akan menandakan perjanjian perdagangan bebas pertama antara ASEAN dan Amerika Utara, yang merangkumi negara seperti Kanada, sekali gus membuka peluang pasaran baharu untuk kedua-dua wilayah.

“Sokongan penuh dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, termasuk sektor perniagaan, adalah penting bagi mengenal pasti amalan terbaik dan penyelesaian praktikal,” tambahnya, menurut kenyataan kementerian itu.

Turut hadir Menteri Perniagaan Kecil, Promosi Eksport dan Perdagangan Antarabangsa Kanada Mary Ng; Duta Kanada ke ASEAN Vicky Singmin, Presiden ERIA Tetsuya Watanabe dan pegawai kanan dari negara anggota ASEAN.

Rundingan ACAFTA yang bermula pada 17 Nov 2021, mewakili langkah penting dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara ASEAN dan Kanada, seterusnya menyepadukan ASEAN ke dalam rantaian nilai global dan meningkatkan akses pasaran untuk perniagaan di kedua-dua wilayah.

Perjanjian itu bertujuan untuk membina hubungan ekonomi yang kukuh yang telah wujud sejak 1977.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan