TUMPAT, 4 Dis (Bernama) -- Beberapa keluarga di Kampung Jubakar Pantai di sini yang kediamannya roboh disebabkan arus deras dan hakisan pada Jumaat lepas menganggap kejadian itu sebagai satu peristiwa pahit yang tidak akan dilupakan.
Seorang ibu tunggal Noraini Nawi, 43, berkata beliau bersama kakak dan dua anaknya berlari keluar rumah selepas mendapati bahagian depan kediamannya mulai senget akibat terjahan arus banjir.
"Ketika mahu keluar dari rumah kira-kira pukul 8 malam, saya lihat rumah jiran yang terletak tidak jauh dari kediaman kami sudah runtuh sepenuhnya, badan saya menggeletar.
"Saya tidak fikir panjang, terus berlari keluar rumah sambil memimpin tangan kedua-dua anak bersama kakak saya untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Bernama hari ini.
Noraini bersama kakaknya Norma Nawi, 48, dan anak sulung Natasya Che Ali, 13, yang juga orang kurang upaya selain seorang lagi anaknya Najihan Che Ali, 9, diselamatkan pihak polis sebelum dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Maktab Rendah Sains Mara Tumpat.
Noraini berkata walaupun peristiwa yang menimpa keluarganya itu sudah empat hari berlalu, beliau masih trauma.
“Sepanjang berada di PPS, saya juga tidak bercakap dengan sesiapa. Fikiran saya kosong dan tiada kata-kata yang mampu saya luahkan, hanya diam seribu bahasa. Semalam saya meninggalkan PPS untuk melihat rumah saya yang runtuh sepenuhnya,” katanya.
Noraini yang bekerja mengambil upah mengemas dan membersih rumah berkata buat sementara waktu beliau sekeluarga menumpang di rumah kakak sulungnya di Kampung Geting, dan berharap ada pihak tampil membantu membaiki atau membina semula rumahnya.
Sementara itu abangnya, Nazri Nawi, 47, ditimpa nasib sama apabila kediamannya turut roboh dalam kejadian itu.
Nazri berkata beliau bersama isteri dan enam anaknya hanya sempat mengambil beberapa helai pakaian sebelum bergegas keluar menyelamatkan diri.
Beliau berkata keesokannya beliau pulang ke rumah untuk mengambil kereta yang ditinggalkan, tetapi ia turut rosak selepas ditenggelami banjir.
Seorang lagi mangsa Che Kar Nik Mat, 60, yang tinggal bersama isteri, lima anak dan tujuh cucunya berkata beliau bukan hanya kehilangan rumah, tetapi juga sebuah kereta dan tiga motosikal.
“Buat pertama kali kawasan Kampung Jubakar Pantai dilanda banjir luar biasa seperti ini dan memusnahkan rumah yang kami diami sejak beberapa generasi lepas.
“Walaupun sedih dan trauma kami reda dengan ketentuan Allah ini, moga ada yang tampil bantu kami di sini,” katanya sambil menambah kesemua penduduk di kampung berkenaan kini berada dalam kebimbangan memikirkan nasib mereka terutama jika sekali lagi berlaku banjir luar biasa seumpama itu.
Dalam kejadian banjir gelombang pertama itu, Tumpat menjadi jajahan kedua yang terjejas teruk selepas Pasir Mas sehingga menyebabkan lebih lapan rumah roboh akibat hakisan selain beberapa jalan terputus dengan lebih 20,000 penduduk terpaksa berpindah.
-- BERNAMA