AM

PM MAHU LEBIH BANYAK CERITA POSITIF RAKYAT DIHEBAHKAN

04/12/2024 04:56 PM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih banyak cerita positif dihebahkan tentang kesepakatan rakyat berbilang kaum di negara ini membantu mereka yang dalam kesusahan seperti mangsa banjir.

Berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini, beliau berkata cerita positif seumpama itu merupakan keindahan Malaysia yang perlu terus dipelihara dan dimanfaatkan kerana ia bukan sahaja memastikan kestabilan tetapi juga masa depan negara yang hebat ini.

“Saya beri contoh hari itu, bila berlaku (bencana banjir) di Kelantan, kawan saya maklum dia dari Bukit Mertajam, dia bukan dari persatuan, (cuma) peniaga Cina yang agak sederhana, dia kumpul 10 lori besar barang makanan dan hantar. Jadi, ini cerita yang positif di Malaysia.

“Semua kaum, agama ambil sikap ini. Ada masalah, rakyat turun (ke lapangan). Jadi, ini yang patut kita bantu hebahkan sebenarnya kerana ini berita-berita positif (berbanding) kadang-kadang kita dengar pergelutan sesama kaum, agama dan perselisihan,” katanya.

Anwar berkata tidak semua negara dapat melakukannya seperti Malaysia dalam menangani bencana termasuk persediaan awal menghadapi kemungkinan yang terjadi dan kebersamaan pelbagai kaum membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Saya lihat, umpamanya perkembangan banyak-banyak negara, tidak semua boleh macam itu dalam masa cepat terutama (dari aspek) persiapan.

“Kita rencana jentera kerajaan, yang dipengerusikan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, siap (dalam masa) dua, tiga bulan yang lalu. Sekiranya berlaku (bencana), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (akan turun) ke sini... semua itu diatur.

“Tentunya tidak sempurna tapi sekurang-kurangnya kita akui ia satu usaha bersungguh-sungguh termasuk dedikasi penjawat awam kita, sukarelawan masyarakat sivil dan juga peniaga begitu baik, tentulah kita tidak boleh kata semuanya tapi sebahagian besar yang saya perhatikan, laporan sangat membanggakan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa terharu kerana saranannya kepada sektor swasta untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir, sama ada dari segi sumbangan dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas, disambut baik.

“Saya terharu dalam masa singkat, secara spontan ramai yang hubungi pejabat saya dan menyatakan mereka sedia (membantu). 

"Kita belum lagi uar-uarkan, kita tidak hubungi semua persatuan dan dewan perniagaan tapi saya lihat ada kesediaan (menghulurkan bantuan) dan saya kata biar saya hadir sendiri (Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI), saya nak beri mesej kepada rakyat, kita ini berusaha sebagai satu pasukan, komitmen ini menyeluruh dari semua kalangan masyarakat dan kaum,” katanya.

Pada majlis hari ini, Anwar mewakili kerajaan menerima sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 syarikat swasta dan badan korporat khusus bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan