KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata ia sedang berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai langkah-langkah boleh diambil untuk meringankan beban pemegang polisi akibat daripada peningkatan dalam tuntutan yang tidak pernah berlaku sejak beberapa tahun lepas.
Persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini menafikan laporan bahawa "tiada perubahan serta-merta" terhadap kenaikan kadar premium insurans perubatan baru-baru ini antara 40 peratus hingga 70 peratus.
“Sepanjang tempoh 2021 hingga 2023, inflasi kos tuntutan perubatan terkumpul yang belum pernah berlaku sebelum ini iaitu sebanyak 56 peratus menyebabkan banyak penanggung insurans dalam kedudukan kritikal pada buku perniagaan perubatan mereka, mereka perlu menguruskan nisbah tuntutan yang tinggi berbanding premium.
"Kenaikan kos penjagaan di hospital swasta serta peningkatan mendadak dalam bilangan pemegang polisi yang mendapatkan rawatan telah mendorong tuntutan dan premium," katanya.
Buku perniagaan perubatan adalah pangkalan data atau buku menyenaraikan semua polisi insurans yang telah dikeluarkan oleh syarikat insurans.
Persatuan itu berkata dalam tempoh itu, penanggung insurans telah terlibat secara proaktif dengan pelanggan mereka untuk mengurus kesan penetapan semula harga dan menawarkan pelbagai pilihan untuk memastikan kesinambungan polisi dan kemampuan.
Ia juga menyatakan bahawa industri insurans hayat telah bekerjasama secara aktif dengan BNM, Kementerian Kesihatan dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia untuk membangunkan strategi jangka panjang untuk menangani kesan kewangan kenaikan kos dan tuntutan perubatan. .
-- BERNAMA