KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Satu memorandum bantahan berkaitan pindaan undang-undang terhadap media telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh sekumpulan petugas media dan badan bukan kerajaan (NGO) di pekarangan Parlimen, pagi ini.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah yang mewakili Anwar menerima memorandum tersebut.
“Insya-Allah kerajaan menerusi kementerian berkaitan akan meneliti setiap bantahan, kritikan dan cadangan yang dibangkitkan bagi menjamin suasana positif untuk industri media, di samping menjaga hak dan kebebasan mereka,” kata Anwar menerusi catatan terbaharu di Facebook.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa lebih 50 ahli Sekretariat Fourth for the Fourth (404) yang terdiri daripada petugas media dan NGO telah berarak secara aman ke Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum tersebut.
Bantahan itu melibatkan cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) serta memperjuangkan kebebasan media.
Perhimpunan aman itu dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).
-- BERNAMA