KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Sistem gabungan haba dan kuasa (CHP) atau ‘kojana’ yang menghasilkan tenaga elektrik dan haba berguna secara serentak daripada sumber tenaga sama, mampu meningkatkan kecekapan tenaga lebih daripada 70 peratus, menghasilkan penjimatan kos tenaga yang ketara dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar bagi tempoh jangka panjang.
Persatuan Gas Malaysia (MGA) berkata selain meningkatkan kecekapan tenaga, sistem kojana menawarkan fleksibiliti melalui keupayaan mereka untuk segerak dengan grid kuasa nasional dan berintegrasi dengan sistem penyejukan.
Ia memberikan kelebihan operasi untuk industri yang bergantung pada bekalan kuasa dan haba yang berterusan.
Fleksibiliti itu menjadikan sistem kojana penyelesaian ideal untuk pelbagai sektor termasuk pembuatan, petrokimia dan bangunan komersil.
“Teknologi kojana muncul sebagai pemboleh penting dalam membantu Malaysia mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menyasarkan penjimatan tenaga sebanyak 21 peratus menjelang 2040.
“Ini termasuk matlamat jangka pendek untuk meningkatkan kecekapan tenaga, justeru mengurangkan penggunaan di kediaman sebanyak 15 peratus dan penggunaan oleh industri sebanyak 22 peratus,” kata MGA dalam satu kenyataan hari ini.
Kojana adalah sistem teknologi penggunaan haba atau stesen janakuasa untuk menjana elektrik dan haba berguna secara serentak.
Presiden MGA, Abdul Aziz Othman berkata kojana menawarkan penyelesaian yang terbukti berkesan untuk meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kos operasi dan menyokong aspirasi kemampanan Malaysia.
“Menerusi peningkatan kecekapan kira-kira 20 peratus, kojana meningkatkan kebolehpercayaan bekalan kuasa dan menawarkan fleksibiliti dalam penyepaduannya dengan grid kuasa dan sistem penyejukan.
“Ini menjadikan kojana penyelesaian ideal untuk membantu Malaysia memenuhi Laluan Peralihan Bertanggungjawab NETR mampan dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi melalui penggunaan tenaga yang cekap,” katanya.
MGA berjaya memuktamadkan Bengkel Kojana hari ini, ia menghimpunkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), penggiat industri utama dan pengguna akhir kojana untuk membincangkan bagaimana kojana boleh membantu Malaysia mencapai sasaran kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon, seiring dengan NETR.
Bengkel itu menampilkan pembentangan daripada Pasukan Petugas Khas Kojana MGA yang menekankan faedah dunia sebenar teknologi kojana, disokong oleh pengalaman daripada pengguna akhir merentas pelbagai industri.
Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) Amerika Syarikat, kojana boleh mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 18.7 peratus, diterjemahkan kepada penjimatan lebih 20,430 tan CO2 setiap tahun.
Abdul Aziz berkata beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk menyediakan insentif jualan dan cukai atau pelepasan untuk turbin gas dan enjin gas yang menggunakan teknologi kojana.
“Insentif sebegini akan mempercepatkan lagi penggunaan kojana dan membantu Malaysia mencapai kecekapan tenaga dan sasaran kemampanannya,” katanya.
MGA komited untuk memacu pengembangan kojana di Malaysia, menyokong peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.
-- BERNAMA