TAWAU, 4 Dis (Bernama) -- Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tertuduh kedua telah mengarahkan semua yang berada di bilik asrama 5 Belian keluar dan meninggalkannya bersama Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada malam 21 Mac lepas.
Saksi pendakwaan ke-17 berkata selepas itu, beberapa penghuni bilik tersebut termasuk 10 tertuduh iaitu tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelima, keenam, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-11 serta ke-13 yang sebelum itu memukul mangsa telah keluar.
"... namun ketika itu, saya tidak keluar kerana penat selain ada lagi penghuni yang juga tidak keluar. Saya tutup pintu kerana takut dan baring di katil.
"Ketika itu, tertuduh kedua serta mangsa berada di celah katil, saya nampak tertuduh menumbuk bahu, menendang bahagian kepala serta pinggang mangsa. Saya kemudian nampak tertuduh menarik tangan mangsa untuk ke tengah bilik tetapi mangsa meronta-ronta minta dilepaskan.
“Setelah itu, tertuduh menolak mangsa ke lokar sehingga mengeluarkan bunyi dentuman," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac lepas hingga 7.38 pagi 22 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata selepas itu, tertuduh pertama, kelima serta keenam masuk ke bilik tersebut dan meminta tertuduh kedua berhenti namun tertuduh kedua mengarahkan mereka keluar sebelum pintu bilik berkenaan ditutup semula.
Saksi itu berkata tertuduh kemudian kembali memukul mangsa sehingga Mohamad Nazmie Aizzat merayu agar perbuatan tersebut dihentikan sambil meminta tolong daripada tertuduh pertama.
"Tertuduh kedua selepas itu membawa mangsa keluar bilik dan saya tidak tahu dibawa kemana," katanya.
Saksi pendakwaan ke-18 yang juga pelajar di kolej itu pula berkata beliau melihat mangsa tidur dan berselimut di tilam yang terletak di atas lantai ketika masuk ke bilik 7 Belian pada 5 pagi untuk mengambil barang sebelum mandi.
"Selepas mandi, saya ada melihat tertuduh ke-11 sedang mengejutkan mangsa tetapi tiada respons, saya sangka mangsa sedang tidur," katanya yang memaklumkan bahawa bilik itu dihuni oleh tertuduh pertama, kelima, keenam, kelapan, kesembilan dan ke-11.
Selain Nur Nisla, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.
Perbicaraan disambung esok.
-- BERNAMA