AM

SEMUA BARANGAN BANTUAN, SUMBANGAN BANJIR PERLU DISALUR MENERUSI NADMA - NANCY

05/12/2024 04:56 PM

TUMPAT, 5 Dis (Bernama) -- Semua barangan bantuan dan sumbangan banjir perlu disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk pengagihan yang lebih teratur, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata perkara itu bagi mengelakkan bantuan dan sumbangan banjir itu diterima oleh orang yang sama.

“Pihak saya ada menerima laporan bahawa ada mangsa banjir yang sama menerima sumbangan dan barangan yang sama,” katanya dalam sidang media selepas menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat 2, di sini, hari ini.

Nancy berkata pihaknya membenarkan bantuan dan sumbangan daripada pihak luar disalurkan, namun perlu melalui pihak berkuasa seperti NADMA.

Beliau berkata apabila barangan dan sumbangan diagihkan kepada mangsa yang sama, maka ada mangsa lain yang tidak menerima bantuan itu.

“Oleh itu, kita perlu mengelakkannya ia daripada berterusan berlaku dan hari ini kami datang untuk menilai apa yang perlu diberi keutamaan untuk gelombang seterusnya,” katanya.

Nancy berkata barangan keperluan telah  ditambah di depot simpanan dan akan digunakan untuk banjir gelombang seterusnya yang akan melanda bila-bila masa.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti bantuan lain yang diperlukan mangsa banjir termasuk menyediakan pasukannya untuk membantu membersih kediaman yang terkesan banjir.

Nancy berkata mesyuarat di peringkat negara telah diadakan untuk menghadapi gelombang seterusnya, yang dijangka lebih teruk.

“Kalau sudah itu ramalan (MetMalaysia), insya-Allah, kita (JKM) akan berada di sana dan tidak akan membiarkan rakyat menderita keseorangan,” katanya.

Pada Isnin, Jabatan Meteorologi menjangkakan luruan monsun akan berlaku dari 8 hingga 14 Dis ini di timur Semenanjung dan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan terbabit dalam tempoh berkenaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan