KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan disaran memperkenalkan dasar kawalan harga sebagai langkah utama untuk mengawal caj atau kos rawatan perubatan yang dikatakan terus meningkat di hospital swasta, kata Ahli Dewan Negara Senator Datuk C. Sivaraj.
Beliau berkata Malaysia boleh mencontohi negara jiran seperti Singapura yang mengawal caj rawatan melalui skim nasional MediShield Life.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pengenalan pelan insurans asas mampu milik bagi membantu golongan M40 dan B40 yang semakin terkesan akibat kenaikan premium insurans kesihatan.
“Syarikat insurans perlu digalakkan menawarkan pelan asas dengan premium yang lebih rendah khusus untuk golongan M40 dan B40. Negara seperti Jerman dan Belanda sudah lama mempraktikkan kaedah ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Dalam usaha mengekang penghijrahan doktor pakar dari sektor awam ke sektor swasta pula, Sivaraj menyeru kerajaan meningkatkan gaji, kemudahan dan peluang kerjaya bagi doktor di sektor awam.
“Insentif seperti ini penting untuk memastikan doktor pakar kekal dalam sektor awam dan dapat memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat yang bergantung pada hospital kerajaan,” jelasnya.
Beliau juga mencadangkan Malaysia mempertimbangkan pelaksanaan skim insurans kesihatan nasional yang berasaskan konsep "risk pooling" seperti di Singapura, bagi memastikan semua rakyat mendapat perlindungan kesihatan asas yang mencukupi.
“Melalui insurans kesihatan nasional, beban kos perubatan dapat diagihkan secara adil sekali gus memberikan jaminan perlindungan kesihatan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Langkah itu, beliau berkata adalah kritikal untuk menangani tekanan terhadap sistem kesihatan negara dan memastikan kos perubatan tidak terus membebankan rakyat khususnya golongan yang kurang berkemampuan.
“Kesihatan adalah hak asasi manusia, bukan barang dagangan. Kita mesti bertindak segera untuk melindungi rakyat dan memastikan sistem kesihatan negara kekal berdaya tahan,” katanya.
-- BERNAMA