KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kepelbagaian, profil nutrien dan potensi kemampanan minyak sawit menjadikannya sebagai sumber penting, bagaimanapun ia kerap tidak dimanfaatkan, menurut ahli akademik Amerika Syarikat.
Felo Persatuan Pemakanan Amerika Dr Roger Clemens dan Profesor Sains Sosial Dalam Perubatan University of Maine Dr Peter Pressman berkata kemajuan yang beterusan dalam amalan kemampanan membolehkan minyak sawit memberi sumbangan bermakna kepada matlamat kesihatan global dan perkembangan yang ditekankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam kenyataan bersama bertajuk “A Heroic Role for Palm Oil” hari ini, kedua-duanya menyifatkan minyak sawit berada dalam posisi unik dan penting dalam konteks lebih meluas mengenai keselamatan makanan global dan kemampanan alam sekitar.
“Walaupun kebimbangan mengenai lemak diet dan impak ekologi adalah wajar, ia perlu ditangani menerusi perbincangan berdasarkan bukti dengan mengambil kira cabaran dan penyelesaiannya.
"Kami menyokong pandangan yang seimbang dan berasaskan sains yang mengambil kira nilai pemakanan minyak sawit, amalan alam sekitar yang sedang berkembang, dan sumbangan sosioekonominya," kata kedua-dua ahli akademik ini.
Mereka turut menggesa industri sawit Malaysia untuk memperlihatkan kepimpinan dan menuju amalan yang lebih mampan.
Menurut kedua-dua ahli akademik ini, kemampanan pengeluaran minyak sawit telah meningkat ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya berikutan inisiatif Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan usaha pengeluar untuk mengurangkan impak alam sekitar.
“Oleh itu, industri minyak sawit turut mencatat kemajuan dalam projek penukaran sisa kepada tenaga, menggunakan produk sampingan seperti tandan buah kosong sawit dan tempurung isirung sawit untuk baja dan penjanaan tenaga, mengurangkan lagi sisa dan pelepasan gas rumah hijau," katanya.
Mereka turut berpendapat bahawa pemerkasaan ekonomi dalam kalangan pekebun kecil industri sawit akan menambah baik akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan di samping meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar.
Di Malaysia, industri minyak sawit menyokong lebih 450,000 pekebun kecil iaitu pemacu utama dalam pembangunan luar bandar dan menyumbang kira-kira 30 hingga 40 peratus daripada tanaman sawit di negara ini.
-- BERNAMA