AM

FAHMI ZAHIR UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA ALLAHYARHAM DATUK JAAFAR KAMIN

06/12/2024 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga bekas Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) Datuk Jaafar Kamin, yang meninggal pada usia 81 tahun di kediamannya di Seksyen 9, Kota Damansara petang tadi.

Fahmi menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan sebutir permata di dalam industri penyiaran negara.

“Selaku Ketua Pengarah dari 1988 hingga 1999, Allahyarham telah banyak menabur jasa dan bakti demi kemajuan bidang penyiaran tanah air, termasuk memperkukuh peranan media dalam membentuk masyarakat.

“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, berita pemergian Jaafar Kamin disahkan ahli keluarga terdekat Allahyarham, Rosihan Anuar Ahmad kepada Bernama yang memaklumkan Jaafar meninggal dunia pada 3.15 petang.

Rosihan memaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid Kuning, Seksyen 5, Kota Damansara untuk dimandikan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara selepas solat Isyak.

Allahyarham Jaafar, antara Ketua Pengarah RTM  yang paling lama dilantik memegang jawatan itu bermula 1988 hingga 1999, meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan