KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Restoran keluarga halal tempatan The Chicken Rice Shop (TCRS) memperkenalkan semula hidangan kegemaran ramai, Grilled Butter Chicken dengan sentuhan baharu yang menarik - sos telur masin berkrim - untuk memikat selera rakyat Malaysia.
TCRS Restaurants Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan Grilled Butter Chicken, yang menjadi menu utama pada penghujung tahun sejak ia mula diperkenalkan, kini boleh dinikmati di semua cawangan TCRS di seluruh negara sehingga 12 Jan.
“Pada tahun ini, TCRS menyerlahkan hidangan berkenaan dengan sentuhan berani yang menonjolkan rasa nostalgia telur masin, diperkaya dengan keharuman daun kari serta sentuhan cili merah untuk keseimbangan sempurna antara rasa berkrim dan pedas,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif TCRS Restaurants Sdn Bhd Wong Kah Yong berkata Grilled Butter Chicken telah menjadi menu ikonik hujung tahun selama lebih 15 tahun, dan terus menjadi salah satu hidangan yang paling dinanti-nantikan pelanggan.
“Tahun ini, kami memutuskan untuk membawa kembali hidangan istimewa ini dengan sentuhan baharu yang menarik bagi memastikan pelanggan kami terus teruja.
“Di TCRS, kami sentiasa bereksperimen untuk mencipta pengalaman baharu yang unik, menggabungkan kegemaran yang dikenali dengan inovasi berani. Kami berharap pelanggan menikmati hidangan istimewa ini seperti mana kami seronok membuatnya,” katanya.
Grilled Butter Chicken & The Golden Egg ditawarkan dalam tiga pilihan set, sesuai untuk individu mahupun makan beramai-ramai.
Bagi melengkapkan hidangan ini, TCRS juga memperkenalkan minuman Gua Cheeky Berry - minuman buah-buahan segar yang menggabungkan jambu batu merah, strawberi dan mangga - yang sesuai dipadankan dengan rasa kaya dan berkrim hidangan berkenaan.
Kah Yong berkata TCRS berhasrat mencipta hidangan yang menyatukan keluarga dan rakan-rakan, bukan sahaja semasa musim perayaan tetapi sepanjang tahun.
“Kami berhasrat menjadikan setiap momen menjamu selera sesuatu yang istimewa. Ketika kami meraikan penghujung tahun yang hebat, kami teruja untuk berkongsi versi baharu hidangan klasik ini dan tidak sabar untuk memperkenalkan lebih banyak kejutan menarik pada 2025,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai menu Grilled Butter Chicken & The Golden Egg yang terkini, layari www.thechickenriceshop.com atau laman Facebook di www.fb.com/thechickenriceshop.
-- BERNAMA
Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.