KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pahang berjaya mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi pertumbuhan nasional untuk tempoh dua tahun berturut-turut dan meletakkan ia di tempat teratas bagi negeri-negeri di Pantai Timur.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Pahang merekodkan pertumbuhan KDNK 10.8 peratus berbanding purata nasional iaitu 8.7 peratus pada 2022 dan 5.2 peratus berbanding 3.6 peratus purata nasional pada 2023.
"Data Jabatan Perangkaan Malaysia juga menunjukkan ekonomi Pahang melonjak 11 peratus daripada RM58.4 bilion pada 2019 kepada RM64.9 bilion pada 2023 sekali gus menjadi petunjuk bahawa ekonomi negeri ini berada dalam keadaan sihat
"Sebagai hasilnya, Pahang mencatatkan jumlah pelaburan komited RM36.94 bilion untuk tempoh 2022-2023 khususnya dalam sektor pembinaan, keterjaminan makanan, peladangan, perkhidmatan dan hartanah," katanya dalam ucapan di Majlis 'Hi-Tea Empowering De’ Tea-Logue' bagi meraikan kejayaan alumni Program Jaminan Kerjaya di Shah Alam, Selangor, semalam.
Wan Rosdy berkata pencapaian itu disokong oleh kestabilan politik, peningkatan produktiviti dan urus tadbir yang baik sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur dan peniaga.
Mengenai Program Jaminan Kerjaya, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Yayasan Pahang berkata ia antara program yang sangat efektif dalam membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia khususnya di Pahang.
"Syabas kepada YP Advanced Skills melalui Yayasan Pahang kerana bermula pada 2018 hingga kini, Program Jaminan Kerjaya ini telah memberi peluang kepada golongan sasar iaitu belia, golongan asnaf, Orang Asli dan golongan rentan yang merupakan anak Pahang atau pemastautin di Pahang," katanya.
Wan Rosdy berkata sejak program itu dimulakan hingga kini, sebanyak 1,273 alumni telah dilahirkan dan ada dalam kalangan mereka berjaya memperoleh pendapatan hingga mencecah RM25,000.
Sejak dilaksanakan, beliau berkata program itu telah mendapat tajaan RM 62.16 juta dengan Yayasan Pahang merupakan penaja utama, diikuti Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Yayasan Peneraju, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, SD Guthrie Bhd, serta pihak industri.
"Kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh kepada Yayasan Pahang dan YP Advanced Skills dalam usaha membekalkan dan mengembangkan lagi tenaga mahir khususnya di Pahang, dan Malaysia amnya.
"Tahniah dan syabas diucapkan kepada Yayasan Pahang kerana berjaya merealisasikan harapan saya untuk menjadikan YP Advanced Skills sebagai sebuah agensi pekerjaan di negeri ini dengan wujudnya Get Job Portal," katanya.
-- BERNAMA
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan