AM

PENGISIAN GURU DI SARAWAK MENINGKAT KEPADA LEBIH 98 PERATUS

12/12/2024 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pengisian guru di Sarawak kini meningkat kepada 98.06 peratus, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. 

Beliau berkata perkara itu hasil kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan kerajaan Sarawak bagi menangani isu kekurangan guru di negeri itu menerusi inisiatif Pengambilan Khas Sarawak Tahun 2024.

Fadhlina berkata setakat 30 Nov 2024, jumlah pengisian guru di Sarawak ialah 41,125 orang daripada 43,334 perjawatan dengan jumlah kekosongan guru sebanyak 2,209 orang.

Beliau berkata SPP telah mengumumkan keputusan temu duga Urusan Pengambilan Guru Tahun 2024 pasaran terbuka dan Pengambilan Khas Sarawak semalam, dengan 7,645 calon berjaya ditawarkan pelantikan oleh SPP dalam kedua-dua urusan pengambilan berkenaan.

"Daripada jumlah itu, 1,372 calon adalah bagi penempatan di Sarawak dengan KPM akan membuat penempatan ke sekolah bagi mengisi kekosongan sedia ada.

 "Atas usaha itu, KPM telah berjaya mengurangkan bilangan kekosongan guru di Sarawak hingga 837 orang yang akan meningkatkan peratus pengisian guru di Sarawak kepada 98.06 peratus," katanya  menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) berkenaan langkah diambil KPM untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata setakat 30 Nov lepas, KPM berjaya menempatkan 13,749 guru baharu lantikan tetap dan lantikan kontrak (CoS) bagi sekolah rendah dan menengah ke seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan