AM

GERAKAN KOPERASI PERLU TEROKA PELUANG EKONOMI BAHARU - MB PERAK

16/12/2024 08:23 PM


From Razif Rosli

IPOH, 16 Dis (Bernama) -- Gerakan koperasi di Perak diseru merebut peluang baharu dengan menceburi bidang perniagaan lain termasuk melalui perancangan pembangunan kerajaan negeri sedia ada.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata gerakan koperasi ini adalah antara enjin pertumbuhan yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dapat mentransformasi dan memperkasakan ekonomi masyarakat setempat.

"Koperasi perlu mencari peluang melalui Projek Automotive High Tech Valley (AHTV) yang dipelopori syarikat Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) bersama-sama DRB-HICOM Berhad dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut/Lumut Maritime Industrial City (LuMIC).

"Selain itu pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) di Utara Perak namun setakat ini saya tak nampak koperasi ambil peluang ini dengan memohon kepada kerajaan negeri untuk terlibat secara langsung. Sepatutnya kena ambil peluang ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Left Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.

Saarani berkata penyertaan gerakan koperasi dalam aktiviti pembangunan negeri sudah pasti dapat merancakkan lagi kemajuan dan pembangunan khususnya dalam meningkatkan pendapatan koperasi.

"Contohnya, pembinaan Lebuhraya WISE, koperasi boleh mengambil peluang membekal pasir atau tanah merah umpamanya, jadi tak salah jika koperasi ceburi bidang perniagaan baharu ini," katanya.

Sebanyak 11 buah koperasi di negeri itu menerima Anugerah Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2024 sekali gus meletakkannya sebagai antara negeri dengan jumlah koperasi terbanyak.

Kerajaan negeri juga turut menyalurkan RM55, 000 kepada 11 koperasi yang tersenarai, sebagai satu insentif penghargaan terhadap sumbangan kepada peningkatan sosioekonomi anggota koperasi di negeri itu.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM turut meluluskan RM10 juta pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM dengan RM709, 990 geran bantuan pembangunan koperasi kepada 25 koperasi Perak tahun ini.

-- BERNAMA


© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan