AM

KENDERAAN BERAT: NIOSH SEDIA KERJASAMA, WUJUDKAN MODUL LATIHAN KOMPETENSI LEBIH TERPERINCI

07/01/2025 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi lain untuk mewujudkan modul latihan kompetensi lebih terperinci dalam melatih operator kenderaan berat.

NIOSH dalam kenyataan memaklumkan bahawa langkah itu bagi membekalkan mereka dengan kemahiran diperlukan dalam mengendalikan kenderaan dengan selamat dan cekap, seterusnya mengurangkan insiden akibat kecuaian manusia.

Menyambut baik penubuhan pasukan petugas khas bagi menangani isu keselamatan kenderaan berat, NIOSH berkata pihaknya dalam masa sama menyarankan pasukan itu memberi keutamaan kepada usaha menyelaraskan undang-undang berkaitan bagi menutup jurang dalam peraturan keselamatan.

Ia juga menurut NIOSH bagi memastikan penguatkuasaan seragam di seluruh negara.

Penubuhan pasukan khas itu diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, semalam.

NIOSH berkata pihaknya turut menyokong langkah Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan memperluas mekanisme penguatkuasaan seperti sistem ‘Speed-Violation-in-Motion”. 

“Tindakan ini akan memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan kritikal seperti tayar, brek dan komponen penting lain yang mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Sehubungan itu, NIOSH menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mengenakan penalti lebih berat terhadap kesalahan ini serta melaksanakan pendekatan tanggungjawab bersama antara pengirim, pengangkut, dan pengendali,” menurut NIOSH.

NIOSH turut menekankan keperluan menyelaraskan usaha ini dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang menuntut tanggungjawab pihak majikan memastikan keselamatan pekerja. 

“Dengan mengintegrasikan prinsip akta ini ke dalam usaha pasukan khas, keselamatan pekerja dan pengguna jalan raya dapat ditingkatkan melalui budaya tanggungjawab bersama,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan