SEPANG, 7 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) memberi jaminan data peribadi pengguna yang menggunakan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyBorderPass adalah selamat dengan aspek keselamatannya berada pada tahap tertinggi.
Timbalan Ketua Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 Amirul Ariffin Lakimin berkata aspek keselamatan data pengguna dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bagi mengelak kecurian data.
“Sistem kod QR ini selamat kerana ia mematuhi Akta 709 dan kita telah ambil langkah sewajarnya.
“Ia (data) hanya digunakan untuk kegunaan imigresen sahaja dan tidak melibatkan pihak ketiga untuk elak kecurian data,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan kod QR khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khususnya di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 dan 2.
Saifuddin Nasution berkata penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan KLIA Terminal 1 dan 2 itu merupakan langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
Antara kelebihan penggunaan kod QR ialah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.
Mengenai penggunaan kod QR itu, Amirul Ariffin berkata inisiatif baharu kerajaan itu akan mempercepatkan urusan pelepasan imigresen untuk rakyat Malaysia selain membolehkan urusan sumber manusia diatur gerak untuk urusan lain.
“Penggunaan kod QR ini adalah tepat pada masanya kerana ia cepat dan prosesnya semudah tiga langkah iaitu hanya muat turun aplikasi MyBorderPass, imbas pasport dan ia akan automatik menghasilkan kod QR,” katanya.
Beliau turut menegaskan penggunaan kemudahan kaunter manual serta sistem pagar automatik konvensional masih tersedia dan boleh digunakan seperti biasa sekiranya rakyat Malaysia tidak memuat turun aplikasi MyBorderPass.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Operasi KLIA Terminal 1 Abdul Hasman Abdul Muhimim menyarankan semua rakyat Malaysia menggunakan kod QR dalam aplikasi MyBorderPass bagi proses pelepasan imigresen.
“Penggunaan kod QR dapat mempercepatkan masa iaitu tempoh antara lima hingga tujuh saat. Kepantasan ini dapat cepatkan proses pelepasan,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Ahmad Anuar Mohamad, 36, yang baru tiba dari Singapura berkata inisiatif penggunaan kod QR menerusi aplikasi MyBorderPass adalah mudah dan selamat.
“Aplikasi ini mudah digunakan dan pasport boleh disimpan di dalam beg. Ia satu pembaharuan daripada kemudahan dahulu dan tidak perlu beratur panjang untuk pelepasan imigresen,” katanya yang berpuas hati dengan pengenalan inisiatif baharu kerajaan itu.
-- BERNAMA