BUKIT MERTAJAM, 7 Jan (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke sebuah syarikat pengilang kontrak (OEM) CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd di Taman Perindustrian Perai, di sini.
Beliau berkata lawatan yang bertujuan menyokong pengembangan syarikat ke pasaran antarabangsa dan peningkatan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) itu menunjukkan komitmen kerajaan memperkasakan sektor keusahawanan negara.
"Melalui lawatan ini, kita dapat mengenal pasti beberapa peluang bantuan yang bersesuaian untuk tujuan pengembangan syarikat dalam aspek potensi dan kompetensi perniagaan.
"Saya berharap bantuan dan sokongan kementerian serta agensi-agensi kementerian dapat membantu meningkatkan saiz syarikat berkenaan daripada kecil kepada sederhana dan seterusnya menyumbang kepada sasaran meningkatkan peratus syarikat bersaiz sederhana sebanyak lima peratus pada 2027," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata SME Corp Malaysia, SME Bank dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) akan memperincikan program keusahawanan dan skim pembiayaan yang bersesuaian dengan pihak syarikat.
Beliau berkata ia seiring dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membantu memacu kejayaan berterusan sekali gus melonjakkan prestasi usahawan PMKS di negara ini.
Ewon turut memaklumkan lawatan ke kilang tersebut juga adalah susulan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke syarikat berkenaan bulan lepas.
Pada 7 Dis lepas, Anwar melawat CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd dan melihat pengoperasian kilang yang merupakan sebuah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berstatus milikan wanita bumiputera yang menjalankan aktiviti perkilangan elektronik di Seberang Perai Tengah.
Ditubuhkan pada 2016, syarikat itu yang mempunyai 70 pekerja terdiri daripada anak tempatan sepenuhnya, sentiasa membuka peluang pekerjaan kepada siswazah untuk menimba pengalaman dalam bidang elektronik selain bekerjasama dengan pelbagai institusi pengajian dengan menawarkan latihan dan lawatan industri.
KUSKOP melalui SME Corp dan SME Bank sejak 2018 telah menyediakan sokongan dan bantuan kepada Syarikat CG Global yang memperoleh status PMKS dalam aspek peningkatan automasi dan akses pasaran ke peringkat antarabangsa.
Menerusi penganjuran Anugerah Enterprise 50 (E50) 2024, syarikat berkenaan juga meraih tempat ke-15 dan turut diiktiraf sebagai Usahawan Eksport Terbaik E50 tahun itu.
-- BERNAMA