JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SIASAT SECARA MENYELURUH KES BUNUH LIBATKAN KEJADIAN TEMBAKAN

09/01/2025 12:14 AM

JOHOR BAHRU, 8 Jan (Bernama) -- Polis Johor akan melakukan siasatan secara menyeluruh bagi kes bunuh melibatkan kejadian tembakan di hadapan sebuah kedai makan di Taman Setia Indah, di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah telah ditubuhkan bertujuan menyiasat dan mengenal pasti individu yang terlibat.

Beliau berkata punca kematian dan motif kejadian yang membabitkan mangsa lelaki tempatan berusia 40 tahun itu juga masih dalam siasatan.

“Siasatan awal mendapati terdapat empat kesan tembakan pada badan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh menganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumar berkata pihak polis turut menasihatkan masyarakat tidak panik, selain memberi jaminan bahawa insiden yang berlaku adalah kes terpencil yang sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan isu keselamatan serta ancaman kepada negeri Johor.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan