KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia melantun semula ke wilayah positif pada awal dagangan Jumaat, dipacu oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah ketika pelabur mengambil kesempatan susulan penyusutan baru-baru ini.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 3.48 mata kepada 1,604.29 daripada paras 1,600.81 selepas dibuka mengukuh 2.73 mata kepada 1,603.54.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 212 berbanding 107 manakala 300 kaunter tidak berubah, 1,750 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 154.55 juta saham bernilai RM95.70 million.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata aktiviti jualan saham yang berlaku baru-baru ini dilihat sebagai menawarkan peluang menarik kepada pelabur yang berminat membeli saham berkenaan.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan (indeks petunjuk utama) FBM KLCI bergerak dalam julat 1,600-1,610 untuk hari ini," katanya.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata operasi Wall Street ditutup sebagai menghormati pemergian bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Jimmy Carter manakala niaga hadapan pasaran itu juga susut ketika peniaga mengalihkan tumpuan terhadap senarai gaji bukan perladangan bagi Disember yang dijadualkan pada lewat hari ini.
Firma pembrokeran itu berkata penyusutan niaga hadapan Wall Street itu juga boleh melimpah kepada saham-saham tempatan.
"Bagaimanapun, kami percaya pasaran akan turut memberi tumpuan kepada negeri tertentu seperti Sarawak susulan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikannya sebagai hab tenaga Malaysia yang dijangka melonjakkan pembangunan negeri itu dan memberi manfaat kepada kaunter berkaitan Malaysia Timur," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB naik dua sen masing-masing kepada RM10.10 dan RM8.13 manakala Tenaga Nasional meraih enam sen kepada RM14.18 namun MISC turun satu sen kepada RM7.14.
Public Bank dan CelcomDigi pula masing-masing tidak berubah pada RM4.44 dan RM3.66.
Bagi saham aktif, Velocity dan Widad masing-masing meraih setengah sen kepada 7.5 sen dan 5.0 sen manakala Datasonic naik 1.5 sen kepada 42 sen, namun 3Ren kehilangan setengah sen kepada 38 sen dan Swift Energy pula mendatar pada 42 sen.
Selain itu, Indeks FBM Emas menokok 30.50 mata kepada 12,325.17, Indeks FBM Emas Shariah mengukuh sebanyak 34.25 mata kepada 12,295.10 dan Indeks FBMT 100 meningkat sebanyak 29.22 mata kepada 12,007.02.
Indeks FBM 70 juga meningkat sedikit sebanyak 56.92 mata kepada 18,537.04, dan Indeks FBM ACE meraih 18.75 mata kepada 5,328.56.
Mengikut sektpr pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik sebanyak 32.94 mata kepada 18,886.72; Indeks Perladangan meningkat 2.58 mata kepada 7,535.94 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.31 mata kepada 170.93 dan Indeks Tenaga menambah 1.40 mata kepada 836.72.
-- BERNAMA