KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 21 pendatang tanpa izin (PATI) dalam Ops Sapu di Dungun dan Marang, semalam.
Pengarahnya Mohd Yusri Mohd Nor berkata ia termasuk 11 warga Indonesia, Bangladesh (tujuh orang), Kemboja (dua orang) dan seorang rakyat Myanmar yang berusia antara 19 dan 57 tahun.
Beliau berkata antara kesalahan dikesan tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan, melanggar syarat pas atau permit dan tiada dokumen perjalanan yang sah.
"Penahanan 21 PATI ini hasil pemeriksaan ke atas 52 pekerja warga asing di tapak pembinaan.
"Mereka ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 6 (1) (c) serta Peraturan 39 (b) Akta sama. Semua tahanan di hantar ke depot Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, Mohd Yusri berkata pihaknya turut mengeluarkan notis kepada tiga warga tempatan berusia dalam lingkungan 50-an yang dipercayai melindungi PATI berkenaan.
Beliau berkata ketiga-tiga mereka diminta hadir ke pejabati imigresen negeri bagi memberi keterangan dan berdepan denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA